Tamat sudah Piala Dunia, Arteta cabar pemain Arsenal teruskan rentak cemerlang


  • Podium
  • Isnin, 26 Dis 2022

Pelbagai perkara perlu difikirkan Arteta sekiranya Arsenal mahu meneruskan prestasi terbaik pasukan. — Agensi

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta mencabar anak-anak buahnya untuk meneruskan rentak cemerlang dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham pada Selasa.

Sebelum kempen Piala Dunia 2022 bermula November lalu, skuad The Gunners merupakan antara pasukan terbaik liga dengan mengumpul 37 mata daripada 14 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat, Manchester City dengan kelebihan lima mata.

"Pasukan ini perlu mendapatkan semula momentum dan rentak di padang kerana terlalu kerap perkara itu dibincangkan di media sosial dan sidang media.

"Tetapi, kami semua bersedia dan memahami bahawa perlawanan tersebut sangat penting selain beraksi di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Sementara itu, West Ham boleh dianggap sebagai lawan yang mudah apabila ketika ini menduduki tangga ke-16 EPL setelah hanya mencatatkan empat kemenangan.

The Hammers sebelum ini menempuh rekod mengecewakan dalam liga selepas tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut, termasuk kekalahan di laman sendiri menentang Leicester City.

GettyImages-1431977428

Arsenal sedang berada dalam prestasi terbaik mereka dalam kempen EPL. Agensi

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tahap kepuasan Arteta terhadap pasukannya itu, pengurus kelahiran Sepanyol berkenaan menegaskan dia gembira dengan prestasi semasa di samping berbangga terhadap lambakan pemain muda.

"Pada saya, perkara yang cukup mengharukan apabila kami mencatatkan keputusan konsisten dan mengekalkan tahap terbaik walaupun hal itu sukar dicapai.

"Fokus kami ketika ini adalah untuk melakukan yang terbaik dalam setiap perlawanan serta cuba memperbaiki segala kekurangan untuk mengumpul tiga mata penuh setiap kali beraksi," katanya.

Sebelum ini, pendahulu liga itu mengejutkan penyokong bola sepak seluruh dunia dengan mudah menundukkan lawan yang mencabar, termasuk Liverpool dan Chelsea.

Bagaimanapun, jelas Arteta, dia mengakui baki saingan liga serta kejohanan-kejohanan lain akan memberi lebih banyak cabaran kepada mereka, lebih-lebih lagi apabila majoriti daripada skuad mewakili negara masing-masing ketika Piala Dunia yang lalu.

"Ia merupakan satu perkara yang penting untuk mengekalkan, memahami dan mengenal pasti tahap kecergasan pemain bagi membolehkan saya dan pihak kejurulatihan melakukan penggiliran untuk setiap perlawanan," katanya.

Ketika ini, penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus difahamkan terpaksa melupakan baki musim ini selepas mengalami kecederaan lutut semasa bersama skuad Selecao. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram