PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo mendakwa Manchester United mengkhianatinya dengan pengurus, Erik Ten Hag cuba untuk memaksanya meninggalkan kelab berkenaan.
Bukan hanya Ten Hag, eksekutif kanan kelab itu juga didakwa berbuat demikian kepada bekas pemain Real Madrid itu, memetik Malay Mail pada Isnin.
Hubungan pemenang Ballon d'Or lima kali itu dengan pengurus berkenaan dilihat renggang sejak awal musim selepas bintang Portugal itu memberitahu United dia mahu berpindah pada Julai lalu.
“Saya tidak menghormati dia kerana tidak menunjukkan rasa hormat kepada saya,” kata Ronaldo mengenai Ten Hag dalam satu temu bual bersama Piers Morgan.
“Bukan sahaja jurulatih, tetapi dua atau tiga lagi orang di bahagian pengurusan kelab juga mahu saya meninggalkan kelab.
“Saya rasa dikhianati dan saya rasa ada orang tidak mahu saya di sini. Bukan sahaja tahun ini tetapi tahun lalu juga,” katanya ketika mengulas ada eksekutif kanan kelab cuba menggulingkannya.
Ronaldo dikenakan tindakan disiplin selepas enggan masuk sebagai pemain gantian dalam kemenangan 2-0 ke atas Tottenham bulan lalu.
Dia kembali ke pasukan dalam beberapa minggu kebelakangan ini malah menjadi ketua pasukan Red Devils dalam kekalahan 3-1 di Aston Villa hujung minggu lalu.
Bagaimanapun, pemain berusia 37 tahun itu tidak menyertai skuad dalam kemenangan 2-1 ke atas Fulham pada Ahad.
Kemenangan ke atas Fulham itu merupakan perlawanan terakhir United sebelum berehat enam minggu untuk Piala Dunia.
Ronaldo kembali ke Old Trafford pada Ogos 2021 dari Juventus.
Musim pertamanya di United adalah satu kejayaan yang gemilang di bawah bimbingan Alex Ferguson, memenangi tiga gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara dan diberikan Ballon d'Or sebagai pemain terbaik di dunia.
Walaupun Ronaldo meledak 24 gol dalam semua kejohanan musim lalu, United mengharungi kempen yang mengerikan apabila mereka menduduki tempat keenam dalam Liga Perdana dan gagal layak ke Liga Juara-Juara.
Ronaldo kemudian dilaporkan cuba keluar daripada kelab sebelum permulaan musim ini, tetapi tiada sebarang perjanjian ditemui dengan pasukan lain.
“Sejak Sir Alex pergi, saya tidak melihat sebarang evolusi dalam kelab. Tiada apa-apa yang berubah.
“Saya mahukan yang terbaik untuk kelab. Inilah sebabnya saya datang ke Manchester United.
“Tetapi ada beberapa perkara yang tidak membantu (kami) mencapai tahap teratas seperti Manchester City, Liverpool dan juga Arsenal sekarang. Pada pendapat saya, kelab sepatutnya berada di puncak tetapi malangnya gagal,” jelasnya.
United berada di tempat kelima dalam Liga Perdana, 11 mata di belakang pendahulu Arsenal. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram