Mikel Arteta kongsi rahsia kejayaan, pertahankan pemain 'berharga'


  • Podium
  • Ahad, 13 Nov 2022

Reaksi Arteta setelah kemenangan sah menjadi milik Arsenal pada Sabtu. — Agensi

PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta percaya wujud semangat berpasukan dalam skuad kendaliannya selepas kemenangan 2-0 ke atas Wolves dalam saingan Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Ini kerana kemenangan tersebut telah mengukuhkan kedudukan mereka di puncak liga tersebut menjelang Krismas dengan lima mata di hadapan Manchester City.

Dua gol tersebut disumbang oleh Martin Odegaard pada separuh masa kedua perlawanan yang berlangsung di Stadium Molineux, England sekali gus menjadi simbol kepada perkembangan positif skuad tersebut di bawah Arteta.

Buat masa ini, The Gunners akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar yang akan membuka tirainya pada 20 Oktober nanti.

Arteta mahu menggunakan ruang tersebut untuk memperbaiki kelemahan agar momentum kemenangan dapat setelah liga kembali bermula.

“Fokus kami adalah untuk menjadi lebih baik setiap hari dan kami masih mempunyai perkara yang perlu diperbaiki.

“Sudah lama kita tidak berada dalam kedudukan ini. Ia merupakan satu transformasi penuh daripada tenaga dan semangat peminat yang telah mereka sampaikan kepada pemain-pemain.

“Saya dapat rasa keseluruhan pasukan daripada pihak pengurusan, pemain dan peminat memiliki semangat berpasukan yang membantu kami capai ke tahap ini,” katanya.

Percubaan Gabriel untuk menyumbat gol gagal apabila dikira offside. Agensi

Meskipun kemenangan menyebelahi Arsenal, penyerang dari Brazil, Gabriel Jesus terus dikiritik peminat kerana sudah lama tidak menjaringkan gol buat pasukan tersebut.

Tidak dinafikan, terdapat cubaan daripada pemain berusia 25 tahun berkenaan untuk menyumbat gol, namun dikira offside.

Mendengar kritikan tersebut, Arteta segera mempertahankan pemain berharga itu dengan menjelaskan bahawa sumbangan Grabriel pada pasukan melebihi jumlah gol.

"Kami turut bersimpati atas kegagalan cubaan Gabriel. Tapi kami sudah capai ke tahap ini,. Saya harap dia tahu kami sentiasa menyokongnya," katanya.

Sebagai rekod, Arsenal bakal kembali berentap pada perlawanan menentang West Ham di Stadium Emirates pada hujung Disember nanti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram