Lee Tuck sah tinggalkan Sri Pahang, bakal ke Kedah atau Terengganu?


  • Podium
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Masa depan Lee Tuck bersama Sri Pahang FC akhirnya terjawab.

MASA depan pemain naturalisasi, Lee Tuck bersama Sri Pahang FC akhirnya terjawab apabila dia mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Pantai Timur itu.

Dalam satu status di Facebook, pemain berusia 34 tahun itu berkata, masanya bersama Sri Pahang FC sudah menemukan jalan penamat.

"Saya ingin berterima kasih kepada mereka yang hebat termasuk penyokong di kelab dan negeri ini yang kami gelarkan sebagai rumah kami.

"Saya dan keluarga berasa sedih walaupun saya mahu bermain lebih banyak untuk kelab ini. Saya tahu ini adalah sebahagian daripada bola sepak dan cabaran serta pengalaman yang perlu dikongsi.

"Saya juga mahu berterima kasih kepada isteri dan anak kerana sokongan mereka yang tidak pernah berbelah bahagi. Selamat maju jaya Sri Pahang FC," katanya.

Khabar itu menguatkan lagi spekulasi bahawa Lee Tuck besar kemungkinan akan disambar dua kelab yang sudah lama memburunya iaitu Kedah Darul Ama FC dan Terengganu FC.

Sebelum ini, Lee Tuck pernah menabur khidmatnya selama semusim bersama pasukan Negeri Sembilan FC, iaitu pada 2017 yang mana merupakan kelab tempatan pertama yang disertainya.

Ketika itu, dia yang kurang dikenali dalam kalangan penonton setia bola sepak tanah air hanya berjaya mengumpul 20 penampilan dan mengumpul lima gol ketika skuad Jang masih berada di Liga Perdana.

Bagaimanapun, prestasi tersebut berjaya mencuri perhatian Terengganu FC yang tidak menunggu lama untuk membawanya masuk, sekali gus menaikkan reputasinya sebagai antara import terbaik Liga Malaysia.

Kemudian dia berpindah ke Sri Pahang FC pada 2021 tetapi hanya diturunkan pada saingan Piala Malaysia susulan statusnya sebagai import yang sudah melebihi kuota di kelab tersebut.

Lee Tuck terpaksa menunggu lebih lama untuk beraksi sehingga proses naturalisasinya selesai pada pertengahan tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram