Identiti mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dikenal pasti, dikenali Eng Shao Qi


  • 112
  • Ahad, 25 Dis 2022

Operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh berakhir selepas mayat terakhir ditemukan dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A pada Sabtu. — Bernama

IDENTITI mayat mangsa terakhir dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang ditemukan pada Sabtu sudah dikenal pasti.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan pada Ahad, korban ke-31 tragedi tanah runtuh itu dikenali sebagai Eng Shao Qi, merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Nadma dalam kenyataan itu turut memaklumkan kesemua proses bedah siasat untuk kesemua mayat telah selesai dijalankan, dikenal pasti dan telah diserahkan kepada waris oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor.

"Proses mengenal pasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi empat kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, gigi dan pengecaman pihak waris pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa,” menurutnya.

Pada Sabtu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh berakhir selepas mayat terakhir ditemukan oleh pasukan SAR dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.42 pagi, 16 Disember lepas itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram