Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali sudah dituntut keluarga, operasi SAR ditamatkan secara rasmi


  • 112
  • Ahad, 25 Dis 2022

Acryl Sani (tengah) ketika memaklumkan operasi SAR di tapak runtuhan tanah runtuh Batang Kali dihentikan pada Ahad.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang bermula 16 Disember lepas ditamatkan secara rasmi pada 12 tengah hari pada Ahad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah polis mengesahkan tiada lagi mangsa yang terlibat atau hilang dalam kejadian itu.

"Polis memuktamadkan mangsa tanah runtuh yang terlibat adalah seramai 92 orang iaitu masing-masing 61 selamat dan 31 meninggal dunia.

"Hanya urusan teknikal sahaja masih diteruskan di lokasi kejadian melibatkan agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Jabatan Mineral dan Geosains dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor," katanya.

Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh berkenaan iaitu seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia antara 7 hingga 12 tahun, ditemukan oleh pasukan SAR pada pukul 4.35 petang Sabtu, dalam keadaan telungkup di tebing bukit, kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan sektor A (hill view).

Dalam pada itu, Acryl Sani turut menyatakan penghargaan kepada pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kerana telah menganjurkan pelbagai kursus melibatkan pengurusan bencana yang membantu agensi-agensi penyelamat untuk lebih memahami peranan masing-masing.

Acryl Sani juga berharap agar pihak Nadma dapat menganjurkan table talk secara berkala melibatkan semua agensi yang terlibat dalam MKN 20 bagi memastikan kelancaran pengurusan operasi bencana pada masa hadapan.

Sementara itu, mayat terakhir yang ditemukan juga telah dituntut oleh ahli keluarganya yang tiba di hospital kira-kira pukul 11 pagi pada Ahad.

Mereka juga didapati meninggalkan hospital kira-kira sejam selepas itu bersama sebuah van yang berlogo rumah pengebumian Nirvana. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram