SEORANG anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, dekat Hulu Selangor, Selangor pengsan dipercayai akibat keletihan melampau.
Jurucakap APM Selangor berkata, Muhammad Faiq Haikhal Mohd Jeffrey dari cawangan Sabak Bernam pengsan kira-kira pukul 1 tengah hari Sabtu dipercayai akibat cuaca panas terik, selain berkemungkinan dehidrasi kesan kurang minum air kerana terlalu fokus kepada pencarian mangsa.
"Beliau memulakan tugasnya hari ini (Sabtu) pada 7.30 pagi tadi dan telah terlibat dalam operasi SAR tersebut secara bergilir mengikut jadual yang ditetapkan," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Menurutnya, anggota APM berkenaan telah dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.
Setakat Sabtu, tragedi runtuhan yang berlaku pada awal pagi 16 Disember lepas telah meragut 30 nyawa, manakala 61 selamat dengan berbaki seorang lagi masih hilang iaitu kanak-kanak lelaki.
Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram