Selepas 9 hari, mayat terakhir mangsa tragedi tanah runtuh akhirnya ditemukan dalam sleeping bag


  • 112
  • Sabtu, 24 Dis 2022

Mayat mangsa terakhir dibawa keluar dari lokasi kejadian tanah runtuh Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Sabtu.

MAYAT mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Batang Kali - Gohtong di Hulu Selangor, Selangor berjaya ditemui pada Sabtu.

Difahamkan, mayat kanak-kanak lelaki yang juga mangsa ke-31 itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 4.53 petang.

Mayat mangsa dipercayai ditemui di Sektor A kerana usaha pencarian pada hari sama ditumpukan di sektor berkenaan, membabitkan kira-kira 80 anggota daripada pelbagai agensi.

Selepas hampir seharian tiada perkembangan baharu, pengamal media dimaklumkan tentnag perkara itu kira-kira pukul 5 petang pada hari kesembilan operasi SAR.

Dengan penemuan mangsa terakhir itu, operasi SAR bakal dihentikan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Suffian Abdullah berkata, mayat kanak-kanak lelaki berusia lingkungan tujuh hingga 12 tahun itu ditemukan dalam keadaan telungkup di tebing bukit kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan berkenaan di Sektor A (hill view).

"Mayat ditemukan dalam sleeping bag dengan keadaan sempurna dan berpakaian, namun sudah mula mereput. Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

"Operasi SAR akan diteruskan bagi kerja-kerja pemeriksaan dan siasatan bagi memastikan kawasan terbabit benar-benar selamat.

Kami menjangkakan jika tiada halangan dan perkembangan terbaharu, keputusan penamatan SAR akan dimaklumkan esok (Ahad)," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Selangor, Wan Md Razali Md Wan Ismail berkata, mangsa terakhir itu, ditemui hasil korekan secara manual oleh anggota penyelamat yang mengesan aliran cecair, yang dipercayai daripada mayat tersebut.

Dalam tragedi pada awal pagi 16 Disember lepas, seramai 92 mangsa yang terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa. Kejadian menyayat hati itu meragut nyawa 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak.

Kawasan SAR yang dibahagikan kepada tiga sektor pencarian iaitu sektor A, sektor B (farm view) dan sektor C (river side) itu, melibatkan kekuatan melebihi 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi serta khidmat unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat.

Operasi itu melibatkan kerjasama lima agensi utama kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, JBPM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Secara keseluruhan, 20 mayat ditemukan di sektor A, satu di sektor B dan 10 lagi di sektor C.

Operasi itu disifatkan mencabar kerana kedudukan runtuhan pada sudut 45 darjah dan luas, serta keadaan timbunan tahan yang tebal dan berlumpur, selain faktor cuaca tidak menentu menyaksikan operasi tersebut beberapa kali ditangguhkan atas faktor risiko keselamatan.

Operasi SAR itu turut menguji ketahanan mental dan fizikal semua petugas operasi dan tidak terkecuali beberapa ekor anjing K9, terpaksa direhatkan akibat keletihan melampau, malah awal hari ini, seorang anggota APM yang terlibat dalam operasi itu dikejarkan ke hospital selepas pengsan dipercayai akibat keletihan melampau dan dehidrasi.

Pada Jumaat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengeluarkan senarai identiti 30 individu terkorban dalam kejadian itu selepas proses mengenal pasti dilakukan menerusi kaedah padanan asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari, gigi dan pengecaman waris termasuk pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram