Pasukan SAR hampir putus asa cari mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali, mujur jumpa cecair misteri


  • 112
  • Ahad, 25 Dis 2022

Anggota bertugas hampir berputus asa dan merasakan harapan tipis mencari mangsa kerana pasukan SAR telah berulang kali mencari mangsa terakhir itu di sektor A. — Awani

HAMPIR berputus asa dan hilang harapan, itulah yang dirasakan anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang masih gagal menemukan mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, meskipun pencarian memasuki hari kesembilan pagi Sabtu.

Namun dengan sisa-sisa tekad yang masih ada, meskipun merasakan peluang menemukan mangsa agak tipis kerana sudah melakukan penggalian di semua sektor runtuhan tanah, akhirnya mangsa berjaya juga ditemukan pada waktu petang hari kesembilan pencarian itu.

Mayat mangsa terakhir iaitu kanak-kanak lelaki itu, ditemukan dalam keadaan tertelungkup di dalam beg tidur dengan kedalaman tanah 1.5 meter di sektor A pada pukul 4.53 petang Sabtu.

Menceritakan detik berkenaan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mereka hampir berputus asa dan merasakan harapan tipis mencari mangsa kerana pasukan SAR telah berulang kali mencari mangsa terakhir itu di sektor A.

"Kami berulang kali mencari dan menggali di sektor A namun tidak menemukan sebarang mangsa, tetapi pada hari pertama (16 Disember) bapa dan kakak kepada mangsa terakhir itu ditemukan di sektor A.

"Kami percaya mangsa terakhir berada di sektor A kerana bapa dan kakaknya ditemukan di situ. Kami menyerahkan segala urusan dan tawakal kepada ALLAH,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), Batang Kali, Selangor.

Hafisham berkata, pada petang hari kesembilan pencarian itu, bomba melalui hasil perkongsian bersama agensi penyelamat lain menerima maklumat, menyatakan terdapat sejenis cairan yang pelik di kawasan pencarian sektor A.

"Apabila bomba menggali, terdapat mayat seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan telungkup dalam beg tidur.

"Mangsa terakhir adalah paling sukar kerana kami sudah membuat penggalian ulangan (di situ), tapi dengan izin ALLAH akhirnya kami menemukan sekujur tubuh,” katanya.

Sementara itu, Hafisham berkata, paling mencabar dalam operasi SAR berkenaan adalah apabila anggota penyelamat terpaksa menggali tanah sedalam tujuh meter, untuk mengambil empat mayat sekeluarga.

"Kesemua mereka ditemukan dalam keadaan bergulung dengan khemah serta perkakasan-perkakasan peralatan khemah.

"Saya mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana operasi SAR berjalan dengan lancar dan berterima kasih kepada anggota-anggota penyelamat lain yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan pada Ahad mendapati Pos Kawalan Tempat Kejadian telah ditutup pada 12 tengah hari dan anggota-anggota penyelamat mula mengemas dan membuka khemah masing-masing.

Selain itu, kerja-kerja teknikal di PKTK masih diteruskan seperti biasa, dengan beberapa jentera berat seperti jengkaut masih berada di lokasi pencarian.

Dalam tragedi pada awal 16 Disember, seramai 92 mangsa terlibat dengan 21 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban selepas berlaku runtuhan tanah hingga menimbus kawasan perkhemahan mangsa.

Kejadian menyayat hati itu meragut 18 nyawa individu dewasa dan 13 kanak-kanak, dengan 20 mayat ditemukan di sektor A, satu sektor B dan 10 lagi di sektor C.

Kawasan SAR yang dibahagikan kepada tiga sektor pencarian iaitu sektor A (hill view), sektor B (farm view), sektor C (river side) itu, melibatkan kekuatan melebihi 250 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi serta khidmat unit anjing pengesan (K9) selain penggunaan jentera berat. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

SAR, pengalaman. polis, putus asa, harapan, bomba