KEDAH Darul Aman (KDA) FC semakin rancak melalui transformasi kelab di bawah pemilik dan ketua jurulatih baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2023 yang lebih mencabar.
Musim depan, penyokong dan peminat bakal disajikan dengan format baharu Liga M yang mana 18 pasukan akan bersaing dalam Liga Super selain wujudkan Liga Simpanan dan Piala Belia.
Dengan cabaran yang lebih tinggi, KDA FC pastinya tidak mahu tercicir dalam persaingan menjelmakan trofi ke Darul Aman setelah mengharungi musim hambar pada 2020.
Musim ini menyaksikan KDA FC hanya menduduki tangga kelapan Liga Super, selain tersingkir awal dalam saingan Piala FA dan Piala Malaysia manakala pencapaian di saingan Piala AFC lebih baik apabila mampu mara ke peringkat separuh akhir zon Asean.
Kini dengan kehadiran Nafuzi Zain sebagai pengemudi berbakat ke Kedah, penyokong pastinya mengharapkan kualiti yang sama dipamerkan jurulatih kelahiran Kelantan itu seperti yang dijelmakan di Terengganu FC (TFC).
Nafuzi (kanan) berdepan cabaran untuk menaikkan semula reputasi Kedah.
Nafuzi boleh mendabik dada dengan pencapaiannya di TFC apabila membawa kelab Pantai Timur itu ke final Piala FA, semi final Piala Malaysia dan layak ke saingan Piala AFC musim depan.
Kini cabaran yang lebih besar menanti Nafuzi untuk merombak pasukan Kedah yang dihimpit dengan aksi tidak konsisten walaupun dibarisi pemain-pemain berbakat.
Ditanya tentang kemampuan Nafuzi untuk mengemudi Kedah, bekas ketua jurulatih kelab itu, Ramon Marcote tidak teragak-agak untuk memberi komennya.
Bagi Ramon, Nafuzi sudah melakukan tugas yang baik bersama TFC dan keputusan Kedah menyambarnya adalah tepat.
"Dia merupakan jurulatih yang sudah melakukan tugas cemerlang bersama TFC.
"Jadi pendapat saya, Kedah membuat keputusan tepat (melantik Nafuzi sebagai ketua jurulatih)," katanya kepada Majoriti.
Ramon merupakan bekas ketua jurulatih Kedah yang menggantikan tempat Tan Cheng Hoe yang memilih untuk mengemudi skuad kebangsaan pada 2017.
Desas-desus mengatakan Ramon akan kembali berkhidmat bersama kelab di Malaysia tetapi perkara itu masih belum disahkan.
Mengulas lanjut perkara itu, Ramon mengakui ada kelab berunding dengannya tetapi tiada persetujuan atau perjanjian yang dicapai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram