Tiga sebab kenapa Perak akan cemburu Adisak pilih Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 23 Dis 2022

Adisak merealisasikan impian untuk beraksi di Liga Malaysia buat pertama kali dalam kariernya. — Facebook/Terengganu FC

BAGI menambah baik kualiti jentera serangan Terengganu FC, pihak pengurusan mengambil keputusan menandatangani pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.

Pemain yang pernah menjadi bahan bualan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan itu dilihat sebagai satu penambahan serasi, apatah lagi dengan skuad Sang Penyu kehilangan beberapa pemain sejak pembukaan jendela perpindahan.

Manakan tidak, keputusan untuk tidak mengekalkan duo penyerang import, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre pada awalnya dikritik penyokong dengan kedua-dua mereka menjadi tonggak utama pasukan sepanjang musim.

Namun, kehadiran Adisak yang memiliki struktur fizikal dikatakan sesuai dengan kancah bola sepak tanah air, termasuk Terengganu FC seperti mana dapat disaksikan tahun-tahun kebelakangan ini.

Tidak cukup dengan itu, tindakan menyambar khidmat pemain berusia 31 tahun itu juga dipuji apabila dia dilepaskan kelab Liga 1 Thailand, Muangthong United baru-baru ini.

Hal tersebut pastinya memberi kelebihan buat naib juara Liga Super 2022 itu yang difahamkan tidak mahu melakukan pelaburan secara besar-besaran untuk musim akan datang.

Bagaimanapun, laporan beberapa sumber dalaman mendapati perpindahan pemain itu tidaklah asing dengan percubaan pihak luar yang turut mencuba menyambar khidmat penyerang tersebut.

WhatsApp Image 2022-12-22 at 22.48.22

Avineshwaran menyebut Adisak pernah dirisik Perak FC sebelum memilih untuk ke Terengganu.

Ciapan di Twitter wartawan sukan tempatan, T Avineshwaran menyebut bahawa Perak FC turut berminat untuk mendapatkan pemain itu selepas layak ke pentas Liga Super musim depan.

Meskipun perkara itu sepertinya tidak disahkan pihak pengurusan The Bos Gaurus (TBG), sumber berkenaan kerap memastikan laporan yang dikeluarkan tidak berat sebelah.

Selain itu, pasukan kedua tercorot Liga Perdana itu sedang giat melakukan rombakan terhadap skuad dengan membawa masuk beberapa pemain muda bagi mempersiapkan kelab.

Oleh itu, khabar angin itu seolah-olah tepat, namun Perak FC dilihat bakal kempunan untuk mendapatkan Adisak yang pernah muncul sebagai penjaring terbanyak Piala AFF 2018.

Kegagalan untuk mendapatkan khidmat pemain berketinggian 1.83m itu dilihat bakal merugikan skuad pasukan tersebut berdasarkan tiga sebab berkenaan yang dapat diperhatikan daripada musim pasukan itu.

1. Ketiadaan penyerang profilik

Setakat ini, Perak FC berjaya mendapatkan ubi-ubi muda daripada kelab Liga Malaysia, termasuk bekas penjaga gol Melaka United, Bryan See dan pertahanan Terengganu FC, Hafizal Mohamad.

Bagi sesetengah pihak, keputusan itu dibuat apabila skuad TBG mencatatkan antara rekod tercorot dari segi pertahanan dalam kempen Liga Perdana musim lepas.

Dalam 18 perlawanan, pasukan yang sebelum ini dikendalikan Yusri Che Lah itu dibolosi sebanyak 30 kali dengan kualiti benteng pasukan sering dipersoalkan.

Namun, melihat kepada skuad secara keseluruhan, jentera serangan mereka juga perlu ditambah baik apatah lagi saingan Liga Super akan datang bakal menjadi lebih mencabar.

Hal itu dapat disaksikan dengan pasukan tersebut hanya dibarisi penyerang kelahiran Croatia, Stipe Plazibat yang dibantu pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin.

1803277

Oswyn Lim menjadi antara rekrut baharu Perak FC untuk musim depan. — Instagram/Oswyn Lim

Untuk musim depan pula, mereka hanya berjaya mendapatkan bekas pemain muda Petaling Jaya (PJ) City FC, Oswyn Lim yang sebelum ini menyertai Perak FC secara pinjaman pada pertengahan musim.

Ketiadaan seorang penyerang prolifik diramal akan meningkatkan cabaran buat skuad TBG yang sudah meluangkan semusim dalam divisyen bawahan bola sepak tanah air.

Lebih teruk lagi, kegagalan untuk mendapatkan Adisak turut menambah luka buat pasukan dengan pemain kebangsaan Thailand itu bakal memikul tanggungjawab jentera serangan buat Terengganu FC.

2. Struktur fizikal

Tubuh sasa, ketinggian dan kekentalan merupakan antara ciri utama yang dilihat dalam kalangan pemain Liga Malaysia dengan perkara itu menjadi antara satu penanda aras mengenai kemampuan seseorang itu.

Oleh itu, bagi mendapatkan kelebihan dalam kesemua kategori itu, import merupakan pilihan terbaik dengan kehadiran mereka membawa perubahan terhadap kualiti skuad.

Melihat kepada ketinggian Adisak, ia merupakan satu tarikan besar kepada mana-mana pasukan liga tempatan dengan dia kerap melakukan jaringan menerusi tandukan.

Selain itu, tubuhnya yang juga sasa juga mampu diaplikasikan, apatah lagi apabila pertahanan pasti berdepan kesukaran untuk menghentikan larian derasnya.

Dh9IeZqUEAAdZMo

Ketinggian Adisak yang mencecah 1.83m menjadi satu impian kelab Liga Malaysia. — Agensi

Kesemua ciri-ciri fizikal itu merupakan satu keistimewaan penting sekiranya Perak FC bercita-cita untuk memastikan mereka mampu mencatatkan kemenangan demi kemenangan.

Bagaimanapun, dengan Adisak memilih untuk beraksi di pentas Asia musim depan, skuad TBG dilihat bakal berdepan kerugian besar, sekali gus menyukarkan prestasi kelab dalam Liga Super 2023.

Tidak cukup dengan itu, pemain yang dibawa masuk setakat ini tidak mempunyai kelebihan dari segi fizikal, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.

3. Pengalaman

Berdasarkan perkongsian peminat sukan seluruh dunia, mereka berpendapat ketiadaan pemain berpengalaman dalam sesebuah pasukan tidak akan memberi sebarang impak.

Hal itu kerana mereka berasakan kualiti pemain dan anggota pasukan memainkan peranan lebih penting sekiranya mereka bercita-cita untuk meraih kejayaan demi kejayaan.

Bagaimanapun, pendirian itu sepertinya tidak berasas apabila pengalaman boleh dikategorikan sebagai antara ciri-ciri penting di sebalik kejayaan yang mahu disaksikan.

Ketika ini, Perak FC sedang berdepan dilema dengan perkara itu, lebih-lebih lagi apabila ketua jurulatih, Lim Teong Kim lebih berminat untuk mendapatkan pemain muda.

Selain itu, ketika ditanya mengenai persiapan sebelum ini, Pengerusi TBG, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berpendapat mereka sudah berpuas hati dengan kualiti pasukan.

Tambahnya, mereka turut menegaskan pasukan itu tidak mempunyai sebarang perancangan untuk mendapatkan pemain berpengalaman di samping bertegas kehadiran pemain berusia dalam skuad sudah mencukupi.

979206f08318f91ca6fd80aa54c597d6da43e8d7

Adisak merupakan antara penyerang terbaik pernah dihasilkan skuad kebangsaan Thailand. — Agensi

Namun, sekiranya mereka berjaya mendapatkan Adisak ketika awal jendela perpindahan lalu, mereka tidak perlu gusar akan perkara itu apabila dia sudah membuktikan kemampuan sepanjang kariernya.

Bersama skuad Gajah Perang, penyerang itu sudah mengumpul 49 penampilan sejak debut pada 2013 dengan 19 gol berjaya dijaringkan dalam aksi persahabatan dan kejohanan kompetetif.

Selain itu, kariernya dalam liga Thailand juga tidak boleh dipandang rendah apabila dia pernah mewakili beberapa kelab gergasi selain mengecapi pelbagai kejayaan.

Oleh itu, Perak FC dilihat bakal berdepan satu lagi kerugian dalam aspek tersebut, sekali gus dijangka bergelut di bahagian serangan meskipun sudah dibarisi pemain dengan acuan Teong Kim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram