[VIDEO] Makin mendebarkan, 4 bintang Asean buruan TFC, KL City, JDT dan NSFC bakal gegarkan Liga M


  • Podium
  • Rabu, 21 Dis 2022

Beberapa pemain bintang skuad kebangsaan negara rantau Asean pernah menabur bakti di kelab Malaysia sebelum ini.

TIDAK dapat disangkal lagi, Liga Super Malaysia semakin mendapat perhatian ramai pemain bintang di sekitar negara rantau Asia Tenggara (Asean) apabila beberapa nama mula dikaitkan akan berhijrah ke kelab-kelab Malaysia bermula musim depan.

Sejak Malaysian Football League (MFL) mula memperkenalkan kuota import Asean rata-rata pemain di sekitar rantau ini cenderung memilih Malaysia dan Thailand sebagai destinasi karier bola sepak mereka.

Ini dibuktikan apabila beberapa tonggak utama skuad kebangsaan masing-masing seperti Hariss Harun (Singapura), Thierry Chantha Bin (Kemboja), Mark Hartmann (Filipina), Billy Ketkeophomphone (Laos), Andik Vermansyah (Indonesia) dan ramai lagi pernah bermain di dalam Liga Malaysia (Liga M).

Sebagai rekod pemain Asean yang pernah berkhidmat bersama kelab Malaysia rata-ratanya pasti akan menampilkan prestasi yang baik serta membawa keuntungan buat pasukan diwakilinya kerana berjaya menarik perhatian penyokong dari negara kelahiran mereka.

Baru-baru ini terdapat khabar angin menyatakan beberapa muka baharu bintang Asean sekali lagi akan menghiasi dunia bola sepak Malaysia bermula musim depan.

Ini merupakan empat nama yang disebut-sebut bakal sertai pasukan Liga Malaysia untuk harungi saingan liga musim depan:

PR

Patrick Reitchelt mewakili kelab PT Prachuap FC musim ini. Agensi

1. Patrick Reitchelt (Filipina)

Nama pemain ini tidak asing lagi bagi peminat bola sepak tanah air apabila dia pernah mencuri perhatian penyokong tempatan dengan aksi lincahnya ketika bersama pasukan Melaka United pada 2019.

Ketika itu, Reitchelt merupakan antara pemain terawal kebangsaan Filipina yang mengembangkan perjalanan bola sepaknya di dalam saingan Liga Malaysia.

Pemain berusia 34 tahun itu hanya bertahan selama satu musim apabila mendapat tawaran daripada salah sebuah kelab terkemuka dari Thailand.

Kini nama Reitchelt dikaitkan kembali apabila pemerhati sukan, T. Avineshwaran memuat naik satu ciapan menyatakan pemain itu semakin hampir sertai Kuala Lumpur City FC.

"Difahamkan, Kuala Lumpur hampir mendapatkan penyerang Ivory Coast, Tchetche Kipre dan pemain sayap Filipina, Patrick Reichelt," katanya di Twitter.

Bersama Melaka United, pemain kacukan Jerman-Filipina ini berjaya menjaringkan 10 gol dan tiga assist dalam 22 penampilan di dalam Liga Super 2019.

2. Adisak Kraison (Thailand)

Terengganu dilihat bernafsu besar dalam membina pasukan untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia musim depan apabila difahamkan sedang mengintai khidmat penyerang Thailand, Adisak Kraisorn.

Kraisorn hadir dengan reputasi besar sebagai penyerang berbisa skuad Gajah Perang yang mana dia berjaya membantu pasukan bawah 23 Tahun (B-23) Thailand menggondol pingat emas acara bola sepak Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Malah, bekas penyerang Buriram United itu turut membantu Gajah Perang menjulang Piala AFF edisi 2014 dan 2020.

Difahamkan penyerang Thailand itu sudah tamat kontrak dengan majikan lamanya Muangthong United. Ini ditambah dengan Kraisorn menghabiskan tempoh dua tahun terakhir secara pinjaman di Port FC.

Walaupun mendapat tawaran satu lagi kelab Liga Thailand 1, Lamphun Warriors, bekas penyerang BEC Tero Sasana itu inginkan cabaran baharu dan mengintai peluang mewarnai Liga M musim depan.

436x283-12

Amirul Adli musim ini mewakili kelab Lions City Sailors FC. Agensi

3. Amirul Adli (Singapura)

Keberadaan pemain kebangsaan Singapura di dalam Liga Malaysia tidak dapat dipisahkan lagi sejak Lions XII menyertai Liga Super pada 2012.

Beberapa nama bintang kebangsaa Kota Singa seperti Hariss Harun, Safuwan Baharudin, Baihakki Khaizan, Faris Ramli dan ramai lagi berjaya membantu kelab-kelab diwakili mereka menjulang pelbagai kejuaraan dan mengekalkan kedudukan tangga yang baik di dalam liga.

Jika Amirul Adli berhijrah ke Liga M, ini akan menjadikan pengalaman pertama buatnya keluar dari Singapura kerana sebelum ini dia hanya beraksi bersama beberapa pasukan di negara kelahirannya itu.

Pemain pertahanan tengah ini dikaitkan akan berhijrah ke Terengganu dan Negeri Sembilan bermula musim depan.

1851370

Ernesto beraksi sebanyak 4 perlawanan pada musim ini dan berjaya melakukan satu bantuan gol. Agensi

4. Ernesto Phumipha (Thailand)

Pertahanan kiri pasukan BG Pathum United, Ernesto Phumipha disebut-sebut bakal menyertai pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain berusia 32 tahun itu merupakan tunjang utama buat pertahanan kelab Liga 1 Thailand itu selain kemampuan dia yang mampu bermain pada beberapa posisi jelas menjadi aset terbaik buatnya.

Namanya kini sedang hangat diperkatakan apabila baru-baru ini, pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah memaklumkan bakal menandatangani seorang pertahanan kiri kelahiran Sepanyol.

Hal ini diperkuatkan lagi apabila dia yang kini mewakili pasukan kebangsaan Thailand bakal mengisi slot pemain Asean seperti yang dikhabarkan.

Bekas pemain Sporting B di Liga Sepanyol ini memiliki pengalaman yang cukup luas dalam saingan Liga 1 Thailand berkemungkinan bakal memperkuatkan skuad Harimau Selatan pada 2023.

Ernesto beraksi sebanyak 4 perlawanan pada musim ini dan berjaya melakukan satu bantuan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram