Bola tak kena tangan, tapi terima kasih Syihan selamatkan penalti — Sharul Nazeem


  • Podium
  • Khamis, 22 Dis 2022

Sharul Nazeem dipersalahkan kerana memberikan sepakan penalti kepada pasukan Myanmar. — Instagram/Sharul Nazeem

SUSULAN sepakan penalti yang diberikan kepada pemain Myanmar dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 pada Rabu, pemain pertahanan negara, Sharul Nazeem Zulpakar tidak menyangka dipersalahkan dalam keputusan tersebut.

Namun, kecemerlangan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menyelamatkan sepakan penyerang gantian Myat Kaung Khant memastikan skuad Harimau Malaya berjaya meraih tiga mata pada aksi pembukaan saingan Kumpulan B itu.

Pengadil dari Jordan Ahmad Faisal Mohammad Al Ali menghadiahkan sepakan penalti selepas mendakwa bola terkena tangan Sharul Nazeem, namun pemain Selangor FC itu bingung dengan keputusan tersebut.

"Saya tak sangka dengan keputusan pengadil, mungkin dari sudut pandang dia, bola terkena tangan tapi saya tak nampak ia berlaku.

"Tapi saya berterima kasih kepada Syihan kerana menepis bola percubaan penyerang Myanmar. Jadi saya rasa banyak lagi saya perlu belajar dan kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Syihan berkata, beliau tidak berniat untuk meniru gaya penjaga gol Argentina Emiliano Martínez yang mempamerkan aksi cemerlang dalam penentuan sepakan penalti sekali gus muncul wira skuad La Albiceleste menjuarai Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini.

Beliau berkata, gaya dilakukannya adalah spontan kerana gembira dapat menyelamatkan sepakan penalti untuk membantu Malaysia memenangi tersebut.

"Gaya 'celebration' saya itu terjadi secara spontan kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini yang pastinya menjadi pemangkin buat kami pergi lebih jauh dalam pertandingan ini,” katanya yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.

Malaysia akan meneruskan aksi kumpulan menentang Laos di Stadium Nasional di Bukit Jalil pada Sabtu, diikuti Vietnam di Hanoi pada 27 Disember dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari dalam misi memburu dua slot ke peringkat separuh akhir. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram