[VIDEO] Benteng Sungai Golok pecah, penduduk Kelantan bimbang banjir lebih dahsyat


  • Tular
  • Rabu, 21 Dis 2022

Penduduk di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan mengharungi saat getir susulan tembok benteng di Sungai Golok dilaporkan pecah pada Selasa.

PENDUDUK di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan dikhabarkan bakal menghadapi ancaman banjir yang lebih besar susulan sebahagian benteng membabitkan projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Kampung Tersang pecah pada Selasa.

Difahamkan, insiden itu berlaku akibat deras air banjir yang melanda di negeri itu dan sekali gus menyebabkan arus air memasuki ke kawasan perumahan penduduk di kawasan terbabit.

Memetik laporan Bernama, benteng berkenaan dibina pada 2018 dengan panjang hampir 20 kilometer di kawasan berkenaan dan pernah dibaik pulih sebelum ini kerana retak akibat banjir.

Rakaman kejadian itu hangat diperkatakan warganet dan rata-rata meluahkan kerisauan berhubung situasi buruk itu.

Dalam pada itu, rakyat Kelantan terus mengalami penderitaan selepas jumlah mangsa banjir dilaporkan terus meningkat kepada 31,311 setakat Selasa dan sebanyak 139 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Meskipun bantuan sedang giat disalurkan, sesetengah mereka masih mengalami masalah apabila terputus bekalan makanan serta tenaga elektrik dan ada juga yang terpaksa berkurung di dalam rumah akibat lewat menerima bantuan.

Lebih memilukan, golongan warga emas juga turut mengharungi situasi getir itu apabila dilihat terpaksa menaiki kenderaan traktor untuk mengelak daripada ditenggelami air banjir.

Menjengah ke ruangan komen, warganet mendoakan kesejahteraan semua mangsa yang terkesan dengan bencana tersebut.

"Ya ALLAH walaupun tempat saya tak terkesan dengan banjir tapi setiap kali tengok video mangsa, saya tak boleh tidur malam dan tak tenang memikirkan nasib mereka," kata Azreenaz87.

"Rasa nak sangat pergi tolong mangsa banjir semua, sedih tengok sebab masih ramai yang terkandas, harap semua urusan mangsa dipermudahkan," jelas Acu.

"Walaupun kita berjauhan, doa aku sentiasa ada buat mangsa dan rakyat di negeri yang terkesan dengan banjir, harap mereka semua selamat dan bencana ini akan reda secepat mungkin," tambah Norisan Hasanah.

Sementara itu, orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir diminta berbuat demikian menerusi agensi-agensi keselamatan bagi tujuan penyelarasan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia membimbing mereka yang mahu menghulurkan bantuan di kawasan bencana dengan memberikan latihan berkaitan supaya mereka lebih terlatih dan dapat bersama-sama membantu dalam operasi tersebut.

Jumlah keseluruhan mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri meningkat kepada 71,208 orang setakat malam Selasa berbanding 66,718 orang pada petang hari yang sama dengan Kelantan dan Terengganu terus merekodkan peningkatan bilangan mangsa.

Di KELANTAN, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa meningkat kepada 31,311 orang malam ini berbanding 26,630 orang petang tadi dan sebanyak 139 PPS dibuka membabitkan jajahan Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Di TERENGGANU, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 39,311 orang daripada 10,937 keluarga berbanding 39,108 orang daripada 10,735 keluarga.

Sebanyak 304 PPS beroperasi di kesemua lapan daerah di negeri itu dengan Besut merekodkan seramai 9,225 mangsa, Kemaman (8,573 mangsa), Hulu Terengganu (6,375 mangsa), Setiu (4,988 mangsa), Dungun (4,005 mangsa), Kuala Terengganu (2,545 mangsa), Kuala Nerus (1,839 mangsa) dan Marang (1,761 mangsa).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN memaklumkan bilangan mangsa menunjukkan penurunan malam Selasa selepas hanya 484 orang daripada 113 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 873 orang daripada 214 keluarga petang Selasa.

Di JOHOR, jumlah mangsa turut berkurangan dengan tinggal 48 mangsa di PPS berbanding 53 orang susulan penutupan sebuah PPS iaitu Balai Raya Kampung Kuala Paya, Segamat, pada jam 6 petang Selasa menjadikan hanya dua PPS beroperasi di daerah berkenaan.

Di PERAK, jurucakap Sekretariat JPBN menyatakan 54 orang daripada 17 keluarga kekal di dua PPS malam Selasa membabitkan daerah Bagan Datuk dan Hilir Perak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram