'Kita kena menang', Harimau Malaya sasar 3 mata penuh berdepan Myanmar — Faisal


  • Podium
  • Isnin, 19 Dis 2022

Faisal Halim diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten untuk skuad kebangsaan. — Facebook/FAMalaysiaOfficial

MENJELANG Piala AFF 2022 pada Rabu ini, skuad Harimau Malaya dilihat bersemangat untuk memburu tiga mata ketika berdepan Myanmar pada perlawanan sulung Kumpulan B di Yangon, ibu negara pasukan lawan.

Kapten pasukan, Faisal Halim menyifatkan kemenangan pada perlawanan tersebut akan menjadi satu permulaan penting untuk menyuntik semangat serta keyakinan pasukan yang ketika ini dibarisi muka baharu.

Katanya, kemenangan tipis dirasakan sudah memadai kerana yang penting adalah bagaimana pemain mahu menjayakan setiap arahan dan pendekatan taktikal ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam perlawanan.

"Di Myanmar kita kena menang, pada saya gol bukan faktor yang kita pentingkan, yang saya pentingkan macam mana kita hendak atasi permainan dan tekanan dalam perlawanan.

"Kalau menang 1-0 pun sudah cukup, janji kita dapat tiga mata dan bermain perlawanan kedua tanpa tekanan. Mahu atau tidak, kita perlu kerja keras dalam perlawanan pertama untuk dapat rentak,” katanya.

Sebelum ini, pertembungan antara kedua-dua pasukan menyaksikan skuad Harimau Malaya menundukkan pihak lawan dengan skor 3-0 pada aksi Kumpulan A pada edisi 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

319681839_472602418288027_5803455142575470118_n

Pan-gon berdepan cabaran getir dengan ketiadaan beberapa tonggak pasukan. Facebook/FAMalaysiaOfficial

Tambah pemain sayap berusia 24 tahun, tidak timbul masalah dari aspek keserasian pemain biarpun pasukan negara ke Piala AFF kali ini memiliki kombinasi pemain yang unik melibatkan pemain tempatan, naturalisasi dan kacukan.

"Saya harap semua pemain dapat beri terbaik (kerana) kita dah tiga minggu bersama, ini adalah waktu yang sebenar untuk buktikan mereka layak berada dalam pasukan,” katanya.

Faisal ketika ini dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC antara beberapa pemain dilantik Pan-gon untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan selain Brendan Gan dan Muhammad Safawi Rasid.

Pasukan kebangsaan berada di landasan tepat untuk memulakan kejohanan dwitahunan itu dengan bergaya selepas melakar dua kemenangan masing-masing menewaskan Kemboja dan Maldives pada aksi persahabatan antarabangsa Kelas 1, baru-baru ini.

Selepas bertemu Myanmar, anak buah Pan-gon akan menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember sebelum berkunjung ke Hanoi untuk berdepan Vietnam pada 27 Disember.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010 dan naib juara sebanyak tiga kali iaitu pada 1996, 2014 dan 2018. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram