BAGI peminat bola sepak tanah air, pasti sukar untuk seseorang itu untuk melupakan nama penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.
Ketika separuh akhir Piala AFF 2018, pemain tersebut menjadi bualan ramai apabila dia gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti pada minit-minit akhir perlawanan, sekali gus membolehkan skuad kebangsaan melangkah ke final.
Hal itu adalah kerana dia merupakan antara penggempur terbaik yang pernah dihasilkan skuad Gajah Perang seperti mana yang dapat disaksikan sepanjang mewakili negara tersebut.
Tidak cukup dengan itu, statistiknya bersama kelab di Thailand juga menaikkan lagi reputasinya dengan dia pernah menyertai beberapa pasukan ternama sehingga menjadi tonggak pasukan berkenaan.
Baru-baru ini, nama Adisak sekali lagi meniti di bibir penyokong bola sepak tempatan apabila media antarabangsa melaporkan dia bakal menyertai pasukan Liga Malaysia musim depan.
Dia sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berkelana ke liga di sekitar ranjau Asia Tenggara meskipun menghabiskan majoriti daripada kariernya di Liga Thailand.
Adisak selepas gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Harimau Malaya. — Agensi
Difahamkan, penyerang berusia 31 tahun itu sudah tidak lagi terikat dengan kelabnya, Muangthoung United selepas dia dipinjamkan sepanjang dua musim ke Port FC pada 2020 hingga 2022.
Berdasarkan laporan itu juga, destinasi baharunya sudah dikenal pasti dengan Terengganu FC dikhabarkan membuka pintu luas untuk menerima kehadirannya musim depan.
Perkara tersebut adalah bersesuaian dengan situasi semasa apabila mereka mengesahkan khidmat duo penyerang import, Kpah Sherman dan Tchetche Kipre tidak akan dikekalkan.
Khabar angin itu dilihat diterima baik penyokong tegar skuad Sang Penyu dengan ruangan komen di media sosial tidak sabar-sabar untuk melihat kelibat pemain berketinggian 1.83m itu musim depan.
"Bagus juga kalau Terengganu FC ambil pemain yang tinggi untuk memudahkan mereka menjaringkan gol menerusi tandukan," kata Jue Arshad.
"Kalau nak ambil dia ni, maksudnya kita memang akan bersaing dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC, mungkin kalau digandingkan dengan penyerang lain akan jadi lebih hebat Terengganu," kata Rohadirazali.
"Kalau berjaya didapatkan, memang rancaklah Liga Malaysia musim depan. Selalunya, slot ASEAN akan digunakan untuk pemain Filipina, mungkin kalau dari Thailand, impaknya berbeza," kata Firdaus Roslan.
Musim ini, Adisak berjaya menghasilkan empat jaringan serta mencipta dua bantuan gol dalam 12 penampilan Liga 1 Thailand untuk membantu Port FC berada di kedudukan ketujuh.
Walaupun dia sudah berusia 31 tahun, kehadirannya masih dinanti-nantikan dengan skuad Sang Penyu pasti mengharapkan suntikan pengalaman dalam skuad berwajah baharu mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram