Chamakh impi lonjak ranking negara ke-3 terbaik Asia dalam FIFAe Nations Series 2023


  • eSports
  • Sabtu, 17 Dis 2022

Malaysia antara negara yang berada di kelompok divisyen pertama di benua Asia dan Ocenia.

BUKAN sahaja skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada Rabu ini.

Skuad eSukan iaitu eRimau turut sedang berjuang dalam kejohanan FIFAe Nations Series 2023.

Buat pengetahuan pembaca Majoriti, FIFAe Nations Series 2023 merupakan kejohanan FIFA yang melibatkan beberapa buah negara dan mempunyai dua divisyen.

Malaysia antara negara yang berada di kelompok divisyen pertama di benua Asia dan Ocenia.

319332973_2239122539592354_5527339841115203013_n

Chamakh menyatakan mereka sudah lama melakukan persiapan untuk menghadapi saingan FIFAe Nation 2023.

Menurut salah seorang pemain eRimau, Chamakh, dia berasa sangat teruja kerana mewakili Malaysia buat pertama kali dalam kariernya sebagai pemain eSukan.

"Saya sangat teruja dan bersyukur dipilih untuk mewakili Malaysia di dalam saingan FIFAe Nations Series 2023 kerana ia akan menjadi tahun pertama saya mewakili negara di dalam saingan berprestij ini.

"Sudah tentu saya akan berikan aksi yang terbaik memandangkan ini adalah peluang yang dinantikan-nantikan saya selama ini dan saya tidak ada ruang untuk mensiakan-siakan peluang keemasan ini bagi membantu pasukan eRimau layak ke FIFAe Nations Cup 2023 seterusnya melonjakkan semula ranking negara ketiga terbaik dunia seperti sebelum ini," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, terdapat dua pasukan yang akan memberikan saingan sengit buat pasukan negara.

"Saya merasakan India dan Singapura akan menjadi pencabar terkuat untuk pasukan Malaysia memandangkan mereka mempunyai pasangan pemain yang baik bagi mode 2v2.

"Bagaimanapun, saya yakin kita mampu untuk mengenepikan cabaran mereka seterusnya melayakkan diri ke FIFAe Nations Cup yang akan dianjurkan pada tahun hadapan," jelasnya.

Chamakh turut mendedahkan bahawa mereka sudah lama melakukan persiapan untuk menghadapi saingan FIFAe Nation 2023.

"Kami telah melakukan persiapan rapi selama beberapa bulan bagi menghadapi Play-Ins FIFAe Nations Series 2023.

"Perlawanan-perlawanan persahabatan telah diadakan dan antaranya adalah menentang Vietnam, Macau, Australia, Indonesia dan beberapa pasukan rantau Asia yang lain," ujarnya.

319056029_712578740081131_2733100988688653723_n

India dan Singapura dijangka akan menjadi pencabar terkuat untuk Malaysia.

Tambahnya lagi, dia meletakkan harapan untuk membantu skuad eRimau menjadi salah satu pasukan yang terbaik di rantau Asia dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penyokong.

"Harapan utama kami adalah untuk melayakkan pasukan eRimau ke FIFAe Nations Cup dan menjadi salah satu pasukan terbaik di saingan tersebut.

"Kami sebagai pemain ada melihat komen-komen dari semua penyokong dan kami berterima kasih atas usaha penyokong Malaysia untuk membantu pasukan eRimau beraksi dengan lebih baik.

"Saya sendiri menjanjikan persembahan terbaik dari saya dan rakan sepasukan yang lain supaya eSukan Malaysia terutamanya permainan FIFA lebih dikenali di seantero dunia," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram