Lee Tuck tak perlukan 'mesin' untuk jadi lebih hebat daripada Safawi Rasid


  • Podium
  • Jumaat, 16 Dis 2022

Safawi dilihat tidak dapat mengekalkan kecergasannya sewaktu beraksi bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM

PEMAIN naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck membalas kepercayaan Kim Pan-gon dengan aksi mengagumkan dalam debut sulungnya di Harimau Malaya.

Menerusi aksi pemanas badan skuad kebangsaan menentang Kemboja dan Maldives baru-baru ini, pemain kelahiran Huddersfield, United Kingdom itu mencetak dua gol dalam kedua-dua penampilan berkenaan.

Lee Tuck turut membuktikan kemampuan sebenar apabila menjadi nadi kepada gerakan serta serangan Harimau Malaya.

Di sebalik kecemerlangan yang dipamerkan Lee Tuck, nasib berbeza dialami oleh kapten pasukan kebangsaan, Safawi Rasid yang dilihat bergelut dengan masalah stamina.

Jika dibandingkan, kedua-dua pemain tersebut mendapat minit permainan sama dalam perlawanan menentang Maldives yang mana Safawi dikeluarkan pada separuh masa kedua sebelum digantikan dengan Lee Tuck.

Safawi yang turun sebagai kapten dalam kesebelasan utama gagal memanfaatkan 45 minit masa permainan untuk mencetak nama sebagai penjaring Harimau Malaya.

318341843_845520669854504_7608400525205921537_n

Safawi (jersi nombor 11) bergelut dengan masalah stamina. — Facebook

Ketika aksi bertemu Kemboja pula, Lee Tuck diturunkan dalam kesebelasan utama dan memperoleh 79 minit permainan manakala Safawi (32 minit), berdasarkan transfermarkt.com.

Safawi yang berusia 25 tahun dan bakal beraksi bersama kelab Ratchaburi di Thailand itu dilihat tidak dapat mengekalkan kecergasannya sewaktu beraksi.

Masalah kecergasan Safawi menjadi persoalan memandangkan dia bermain di kelab Johor Darul Takzim (JDT) yang bukan sahaja memiliki fasiliti lengkap bahkan amat mementingkan intensiti dalam latihan.

Meskipun jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Harimau Selatan, Safawi sekurang-kurangnya mendapat latihan berterusan sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Situasi berbeza dengan Lee Tuck yang tidak dapat bermain dengan kelab Sri Pahang FC musim ini kerana perlu menempuh proses naturalisasi yang hanya selesai pada 7 September lalu dan berkuat kuasa pada pertandingan Piala Malaysia 2022.

319913713_868733447482542_1903466251042130796_n

Faktor usia tidak menjadi penghalang buat Lee Tuck untuk mempamerkan aksi terbaik. — Facebook

Selain itu, jurang umur juga turut menjadi perbandingan prestasi antara kedua-dua pemain berkenaan apabila Lee Tuck yang sembilan tahun lebih berusia daripada Safawi tampil lebih fit dan bertenaga.

Berdasarkan prestasi semasa, Safawi perlu bekerja keras memperbaiki tahap stamina untuk menunaikan ikrarnya yang mahu memperbaiki karier dengan mendapatkan lebih banyak minit permainan.

Untuk rekod, skuad kebangsaan berjaya mengumpul 2.32 mata untuk menambah baik kedudukan mereka sebelum kempen Piala Asia 2023.

Harimau Malaya akan memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF di Yangon dengan bertemua Myanmar pada 21 Disember, diikuti perlawanan menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Malaysia, juara edisi 2010 dan menamatkan pada tempat kedua pada 1996, 2014 dan 2018, terkeluar pada peringkat kumpulan pada edisi 2020 di Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram