PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedang mengalami revolusi baharu selepas pertukaran barisan kejurulatihan yang menyaksikan bekas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain kini mengemudi Sang Kenari.
Skuad Hijau Kuning juga merupakan antara yang terawal mengumumkan pemain terbaharu mereka apabila mengikat pemain posisi tengah, Amirbek Jurobaev dari Tajikistan.
Kehadiran pemain import itu sebagai mengisi kekosongan kuota import pasukan Sang Kenari selepas menggugurkan dua pemain sensasi mereka pada musim ini iaitu Ronald Ngah dan Mahmoud Al Mardi.
Poster teaser di laman Facebook Kedah Darul Aman FC. — Facebook
Terbaharu, KDA FC dijangka akan mengumumkan seorang lagi pemain baharu bagi mempersiapkan barisan pemain terhebat bagi merebut kejuaraan di musim akan datang.
Menerusi satu hantaran di Facebook rasmi KDA FC pada Rabu, satu poster teaser mengundang debaran dalam kalangan penyokong mengenai gerangan individu di dalam gambar tersebut.
"My goal is stopping yours," tulis kapsyen ringkas pada gambar tersebut.
Brendan Gan dikaitkan dengan berita perpindahan ke KDA FC. — Facebook
Para penyokong membuat andaian kemungkinan pemain itu adalah penyerang baharu skuad Sang Kenari.
Ada yang meneka mungkin pemain itu ialah Brendan Gan memandangkan tonggak Selangor FC tersebut kini rancak dikaitkan dengan berita perpindahan ke kelab utara tanah air berkenaan.
"Tali jam kat tangan, Brendan Gan," teka Nazli Imran Mohd Mansor.
"Dah agak dah, Brendan Gan ni... tengok lengan dengan pakai jam pun dah tau dah," ujar Own Apex pula.
Ada juga penyokong yang membuat andaian pemain itu mungkin adalah pemain pertahanan berdasarkan kapsyen berkenaan.
"Ni mesti defend sebab dia akan menyekat kemaraan penyerang," kata Syahfendi.
"My goals is stopping you... defend ni," kata Firdaus Ahmad.
Wan Amirul Afiq pernah membantu Melaka United menjuarai Liga Premier pada 2016. — Facebook
Sebahagian meneka figura itu mungkin adalah Wan Amirul Afiq yang sebelum ini beraksi bersama Melaka United FC.
Skuad Hang Tuah itu dijenamakan sebagai Harimau Melaka (HM) untuk musim depan sebagai salah satu usaha pembaharuan dan pembentukan semula pasukan selepas krisis kewangan yang membelenggu kelab berkenaan.
"Hang Tuah mari," kata Kamal Fitri Ismail.
Hanif Zakaria meninggalkan komen berbunyi, "Defend ni... Wan Amirul Afiq!"
Wan Amirul Afiq yang berusia 30 tahun merupakan antara nadi penting pertahanan Melaka United sejak empat musim lalu dan sentiasa diberi peranan di bahagian kanan.
Memulakan kariernya bersama Young Fighters pada 2015, pemain berasal dari Tumpat, Kelantan itu pernah membantu Melaka United menjuarai Liga Premier pada 2016 sebelum ke Felda United selama dua musim berikutnya dan kembali ke bumi Hang Tuah pada 2019. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram