PRESTASI Harimau Malaya yang nampak semakin matang dalam perlawanan menghadirkan rasa teruja dan gembira dalam kalangan penyokong tanah air.
'Air tangan' ketua jurulatih, Kim Pan-gon mula menampakkan hasil selepas dilihat mampu mencipta kejayaan di Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), bermula minggu depan.
Ketika perlawanan persahabatan menentang Kemboja pada 9 Disember, Harimau Malaya mencipta kemenangan 4-0 ke atas Pahlawan Angkor walaupun skuad kebangsaan tidak menampilkan wajah-wajah regular.
Menjelang aksi persahabatan menentang Maldives pada Rabu, skuad kebangsaan ibarat seperti menghadapi peperiksaan akhir memandangkan ia baki aksi antarabangsa sebelum perlawanan sebenar Piala AFF 2022.
Berdepan satu lagi pasukan di ranking lebih rendah, perkara itu dilihat mungkin memberi kesukaran kerana anak buah Pan-gon kerana tidak diuji secukupnya sebelum saingan sebenar.
Santokh Singh berkata, skuad negara tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian sederhana ketika ini.
Perkara itu diakui legenda bola sepak, Datuk Santokh Singh yang beranggapan Malaysia perlu menghadapi saingan lebih kompetitif walaupun hanya di peringkat pemanas badan.
Menurutnya, pasukan di saingan Piala AFF menampilkan beberapa pasukan lebih baik berbanding Malaysia dan berdepan lawan seperti Maldives yang berada di ranking ke-154 dunia, dilihat kurang memberi cabaran.
"Lawan Maldives tak cukup untuk jadi pemberat kepada skuad kebangsaan. Malaysia patut cari pasukan-pasukan yang bagus untuk uji kemampuan sebenar pasukan.
"Tengok ranking Malaysia, tengok ranking negara tu duduk di tangga berapa. Barulah ada cabaran...ini lawan pasukan ranking lagi corot. Lawan lah Thailand ke, Myanmar atau Korea Selatan," katanya kepada Majoriti.
Untuk rekod, Malaysia berada di kedudukan ke 146 ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Pencapaian terbaik Malaysia adalah menduduki ranking ke-79 dunia pada 1993 manakala rekod terburuk pula adalah ketika berada di kedudukan ke-176 dunia pada 2018.
Sebahagian pemain Harimau Malaya menjalani latihan bagi menghadapi aksi pemanas badan menentang Maldives untuk kempen Piala AFF 2022. — Facebook
Santokh Singh yang pernah mewakili Malaysia dalam Sukan Olimpik pada era 70-an menegaskan skuad negara tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian di tahap sederhana ketika ini.
Katanya, Harimau Malaya perlu segera mempersiapkan diri untuk berdepan dengan pasukan gergasi dalam penampilan mereka di kejohanan berprestij Piala Asia 2023.
"Tak boleh nak tunggu sampai tahun depan baru nak buat. Malaysia kena uji kemampuan dengan lawan pasukan-pasukan besar dengan ranking lebih tinggi dari sekarang," katanya.
Tambahnya memperbaiki ranking semasa juga tidak cukup untuk membantu Harimau Malaya mengharungi saingan Piala Asia 2023 sekiranya tiada persiapan rapi dan teliti dilakukan.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF di Stadium YTC Thuwanna, Myanmar menentang negara itu pada 21 Disember sebelum beraksi di tempat sendiri ketika bertemu Laos pada 24 Disember.
Selain itu, Harimau Malaya juga menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram