MUSIM 2022 yang bakal melabuhkan tirai tidak lama lagi menyaksikan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) begitu rancak mempersiapkan pasukan masing-masing.
Terengganu FC setakat ini sudah mengumumkan pengendali baharu iaitu jurulatih dari Croatia, Tomislav Steinbruckner untuk mengetuai barisan kejurulatihan.
Skuad Sang Penyu juga mendapatkan khidmat import sensasi Melaka United FC (kini dikenali sebagai Harimau Melaka), Sony Norde untuk mengukuhkan lagi jentera Terengganu FC musim depan.
Tomislav yang mesra dipanggil 'Tommy' juga menyatakan hasrat mendapatkan khidmat dua pemain dari negara asalnya, Croatia bagi mengisi kuota import skuad.
Di samping itu, dia juga difahamkan sedang mencari seorang pemain dari negara Asean untuk melengkapkan kekosongan yang ditinggalkan pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina, Manuel Ott.
Timbul khabar angin mengatakan terdapat dua pemain kelab Vietnam yang dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan naib juara Liga Super 2022 itu.
Laman Facebook Malayantigerfans berkongsi perkhabaran mengenai dua pemain Hanoi FC iaitu Duc Huy Pham dan Tonci Mujan yang dikatakan akan ke kelab Pantai Timur berkenaan.
"Pemain kebangsaan Vietnam yang bermain bersama pasukan Hanoi FC kini sah sebagai ejen bebas.
"Dia pernah menjaringkan gol ketika menentang skuad Harimau Malaya pada 11 Disember 2018 di Final 1st Leg Piala AFF Suzuki 2018.
"Ketika itu perlawanan berkesudahan seri 2-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil," katanya menerusi hantaran tersebut.
Aksi Harimau Malaya menentang Vietnam dalam perlawanan akhir 1st Leg Piala AFF Suzuki 2018. — Facebook
Untuk rekod, gol Malaysia ketika itu dijaringkan oleh Safawi Rasid dan Shahrul Saad.
Meskipun dikatakan pernah merantai tonggak berbisa Harimau Malaya, statistik permainan Huy Pham di Hanoi FC bagi musim ini dalam beberapa perlawanan sepanjang bulan November agak mengecewakan.
Pemain berusia 27 tahun itu sama ada tidak tersenarai dalam pasukan atau hanya duduk di bangku simpanan.
Dia hanya mengutip 45 minit masa perlawanan ketika Hanoi FC bertemu Gia Lai FC dan empat minit masa permainan ketika menentang Viettel FC.
Statistik permainan Huy Pham di Hanoi FC pada bulan November lepas. — Facebook
Mengenai Tonci Mujan pula, pemain sayap Hanoi FC itu merupakan bekas pemain skuad antarabangsa Croatia bawah 19 tahun.
Seorang penyokong, Iwan Thom berpendapat kelab Vietnam itu melepaskan pemainnya mungkin kerana mereka mahu mencari pemain lebih berbisa untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim ini.
"Jika Hanoi FC lepaskan dia maknanya Hanoi FC nak cari yg lebih baik dari dia sebab Hanoi bakal main ACL 2023," katanya.
Sebelum ini Tomislav menyatakan bahawa akan mengambil pemain import lain bagi memperkuatkan pasukan termasuk dua pemain kelahiran Croatia iaitu seorang di posisi serangan dan seorang lagi bagi posisi tengah bertahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram