Saya tak boleh halang Irfan ke Sabah — Bojan Hodak


  • Podium
  • Rabu, 14 Dis 2022

Bojan percaya anak-anak buahnya akan memberi aksi terbaik untuk musim depan. — Facebook/Kuala Lumpur City FC

WALAUPUN gagal untuk mempertahankan gelaran Piala Malaysia musim ini, Kuala Lumpur (KL) City FC masih boleh dianggap sebagai antara pasukan terbaik Liga Super.

Kejayaan untuk mara ke pentas akhir Piala AFC membuktikan kemampun skuad Warga Kota meskipun ia merupakan penampilan sulung mereka dalam kejohanan peringkat Asia itu.

Dalam saingan liga pula, 29 mata yang dikumpul sepanjang musim membolehkan anak-anak buah Bojan Hodak menduduki tangga keenam dengan beberapa aksi sengit dipamerkan.

Oleh itu, dengan format liga yang semakin ketat musim depan, KL City FC pastinya bercita-cita untuk mengulangi kejayaan tahun-tahun sebelum ini.

Antara pendekatan yang bakal diambil pihak pengurusan ialah melakukan rombakan terhadap skuad dengan membawa masuk pemain-pemain baharu berdasarkan taktikal barisan kejurulatihan.

Bagaimanapun, setelah hampir dua minggu jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka, juara Piala Malaysia 2021 itu masih tidak mengumumkan kehadiran wajah baharu.

Irfan-Zakaria-AFC-CUP-2022-scaled

Irfan merupakan antara pertahanan terbaik dimiliki KL City FC. Agensi

Lebih teruk lagi, skuad Warga Kota dilihat semakin tempang dari segi pertahanan selepas pemain berusia 27 tahun, Irfan Zakaria memilih untuk menyertai Sabah FC untuk musim depan.

Sepanjang musim lepas, bek tengah itu merupakan antara tonggak utama pasukan dengan mengumpul 18 penampilan dalam liga serta diturunkan dalam tujuh pertembungan Piala AFC.

Hal itu pastinya memberi kegusaran kepada penyokong KL City dengan Irfan sudah beberapa musim menampilkan persembahan terbaik dan konsisten setiap kali turun beraksi.

Namun, bagi Bojan, keputusan pemain tersebut untuk menyertai skuad Sang Badak tidak boleh dihalang meskipun mengakui dia merupakan antara pemain terbaik pasukan.

"Saya tidak dapat menghentikan usaha Irfan pergi ke Sabah FC kerana mereka menawarkan gaji lebih tinggi dan dia beraksi cukup baik tahun ini," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2022-12-14 at 13.40.28

Akram (kanan) difahamkan bakal bersama skuad Harimau Malaya untuk kempen Piala Asia 2023.

Selain itu, pengendali kelahiran Croatia itu turut mempersoalkan mengenai peluang terhad pemain berkenaan dalam skuad kebangsaan walaupun sudah membuktikan kemampuannya bersama pasukan.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai persiapan pasukan untuk tahun akan datang, Bojan menegaskan bahawa sesi latihan bakal berlangsung tidak lama lagi.

"Ketika ini, kesemua pemain sedang bercuti kerana mereka sudah mengharungi satu musim yang panjang dan terdapat banyak jumlah perlawanan. Mereka akan melaporkan diri untuk berlatih pada minggu pertama Januari depan," katanya.

Perubahan struktur liga daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal menyaksikan terdapatnya kenaikan jumlah perlawanan kepada 28 daripada 22 ketika ini.

Selain itu, saingan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung pada pertengahan tahun pasti akan memberi tekanan kepada pemain dan barisan kejurulatihan dari aspek kecergasan.

KL City juga pastinya akan terkesan dengan kejohanan itu dengan pemain tengah, Akram Mahinan dan pertahanan kiri, Declan Lambert disebut-sebut bakal bersama skuad Harimau Malaya nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram