KEMPEN Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terhenti di separuh akhir Piala Malaysia pada Ahad apabila disekat Johor Darul Takzim (JDT) dengan kekalahan agregat 1-4.
Secara keseluruhan musim ini, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee mempamerkan prestasi terumbang-ambing akibat ketempangan di beberapa posisi dalam pasukannya.
Sang Badak terlepas slot ke Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 setelah jatuh dari posisi kedua Liga Super dan dipintas Terengganu FC yang akhirnya menjadi pemilik slot tersebut.
Sehubungan itu, Sabah FC pasti tidak mahu menunggu lama untuk terus memperkuatkan lagi pasukannya apabila dilaporkan sudah mendapatkan tandatangan pemain bertaraf kebangsaan bagi musim 2023.
Keseriusan Kim Swee untuk menambah kekuatan pasukan terserlah apabila difahamkan berjaya mendapatkan khidmat tiga pemain termasuklah seorang bintang AFC dan dua lagi pemain Harimau Malaya.
Selain penjaring terbanyak tempatan, Darren Lok yang pernah dikupas Majoriti dalam artikel sebelum ini, dua lagi pemain yang turut berada dalam cengkaman Sabah FC adalah pertahanan kental The City Boys, Irfan Zakaria dan pemain sayap kanan PJ City, S. Kumaahran.
Berikut merupakan pro dan kontra sekiranya Irfan dan Kumaahraan sertai Sabah FC.
Irfan sering diberikan kepercayaan untuk menjaga benteng pertahanan pasukan. — The Star
1. Irfan Zakaria
Pro:
Irfan memiliki pengalaman yang luas dalam kancah bola sepak tempatan dan sering mendapat kepercayaan daripada jurulatih untuk diturunkan ke padang.
Antara pengalaman tertinggi Irfan beraksi di pentas tertinggi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC adalah dalam Piala AFC serta dalam skuad Harimau Malaya.
Sepanjang bersama skuad kendalian Bojan Hodak musim ini, pemain berusia 27 tahun tersebut mengumpul sebanyak 2,544 minit perlawanan, sekali gus membuktikan kepercayaan yang diletakkan di bahunya.
Biarpun berada di bahagian pertahanan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu juga berjaya melakukan sumbangan buat barisan serangan apabila mampu menghasilkan tiga bantuan gol.
Kontra:
Bahagian pertahanan Sabah FC masih lagi perlu diperkuatkan apabila mudah bolos apabila bertemu jentera serangan lawan yang agresif.
Buat masa ini, bahagian pertahanan Sabah FC dibarisi oleh pemain-pemain handalan seperti Rawilson Batuil, Dominic Tan dan Ummareng Bacok yang mempunyai kelebihan masing-masing.
Ini akan menyebabkan persaingan dalam sistem giliran permainan sekiranya seorang lagi pemain iaitu Irfan menyertai skuad Sang Badak.
Selain itu, sekiranya minit permainan Irfan berkurangan, peluangnya untuk dipanggil ke skuad kebangsaan untuk kejohanan antarabangsa mungkin terjejas.
Musim ini, kesemua pemain tersebut merupakan antara wajah-wajah yang kerap tampil buat pasukan yang merekodkan satu persembahan pertahanan dengan konsisten dan cemerlang.
Kumaahran mampu bermain di posisi berbeza sekali gus boleh menjadi aset buat Sabah FC.— Bernama
2. S. Kumaahran
Pro:
Seperti Darren Lok, S. Kumaahran merupakan tunjang kepada bahagian serangan PJ City apabila menyumbang empat gol dalam 23 penampilannya dalam kesemua perlawanan Liga Malaysia.
Selain mampu bermain di posisi sayap kanan, pemain berusia 26 tahun ini juga sangat verstail apabila turut mampu berkhidmat di posisi bek kanan dan pertengahan kanan.
Kelebihan ini boleh dimanfaatkan Kim Swee untuk membantu ketumpulan jentera serangan yang membelenggu pasukan dari Borneo itu musim ini.
Pengalaman bermain bersama di PJ City akan memudahkan Kim Swee untuk menggandingkan Darren dan Kumaahran tanpa menunggu masa mereka mencapai keserasian.
Kontra:
Hal itu turut dirasai Kumaahran yang berjaya meraih kepercayaan penuh barisan kejurulatihan apabila diturunkan dalam 21 daripada 22 perlawanan Liga Super.
Tidak cukup dengan itu, ketua jurulatih, P Maniam juga berjaya mengenal pasti posisi terbaik pemain tersebut dengan memberikannya tugasan untuk mengawal serangan sayap kiri The Phoenix.
Bagaimanapun, tanggungjawab itu seakan-akan sukar untuk digalas penyerang berusia 26 tahun itu selepas hanya mampu merekodkan empat gol dalam Liga Super.
Selain itu, dia turut gagal untuk mencipta sebarang bantuan gol yang membuktikan ketumpulan jentera serangan PJ City FC apabila mereka hanya menjaringkan sebanyak 22 gol liga.
Jadi, persoalannya, mampukah Kumaahran membawa perbezaan buat skuad Sang Badak untuk musim depan dengan prestasinya yang tidak menentu sepanjang musim?
Sabah FC pastinya tidak mahu melakukan pelaburan yang merugikan ketika jendela perpindahan selepas mereka pasti berhasrat untuk mengulangi kejayaan tahun ini.
Namun, sentuhan Kim Swee dipercayai mampu memberi perbezaan terhadap kemampuan Kumaahran yang pastinya juga tidak sabar-sabar untuk menuntut ilmu dengan jurulatih berpengalaman itu.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram