PENYERANG muda Kuala Lumpur (KL) City FC, Muhammad Haqimi Azim Rosli tidak berasakan pemilihannya dalam skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 disebabkan faktor nasib.
Sebaliknya, pemain berusia 19 tahun itu berkata, dia telah memberikan persembahan terbaik sejak diberi kepercayaan jurulatih KL City, Bojan Hodak untuk beraksi bersama pasukan pada penghujung saingan Liga Super musim ini.
Katanya, dia terkejut apabila menjadi antara 29 pemain disenaraikan Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara menghadapi dua aksi antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives bulan ini, seterusnya kempen Piala AFF dari 20 Disember sehingga 16 Januari depan.
"Nasib atau layak (dipanggil) itu saya tak pasti sebab dalam pasukan KL City saya hanya buat sehabis baik apabila diturunkan jurulatih Bojan. Saya pun terkejut disenaraikan tapi saya rasa bangga, begitu juga keluarga dan rakan-rakan saya.
"Azam saya jika terpilih ialah untuk beri 100 peratus komitmen bersama pasukan dan buktikan pada jurulatih saya boleh galas tanggungjawab di posisi yang saya main,” katanya ketika ditemui pada kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya di Petaling Jaya, Selangor pada Khamis.
Hanya 23 pemain akan dibawa ke saingan Piala AFF 2022 selepas Pan-gon menilai prestasi pemain pada dua aksi antarabangsa Tier 1 masing-masing menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember dan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras 14 Disember ini.
Sebahagian dari pemain Harimau Malaya ketika sesi latihan. — Facebook/FAM
Pada masa sama, Muhammad Haqimi berkata, menyarung jersi pasukan negara ialah impiannya sejak berusia empat tahun selepas sering menonton perlawanan bersama ayahnya di Stadium Shah Alam.
"Niat (jadi pemain negara) sejak umur empat tahun apabila ayah selalu bawa saya ke Stadium Shah Alam dan pada umur 19 tahun saya dapat banyak peluang yang saya telah gunakan sebaik mungkin, saya gembira kerana tahun ini saya dipanggil ke skuad kebangsaan buat pertama kali,” katanya.
Sementara itu, penyerang Sri Pahang FC yang juga pemain naturalisasi, Sergio Aguero mengakui bahawa dia memang sudah cukup sebati sebagai seorang rakyat Malaysia untuk mewakili negara ini dan sedia memberikan yang terbaik jika terpilih dalam senarai akhir Piala AFF.
"Saya di sini selama enam tahun, saya dapat banyak tawaran dari luar dan saya sentiasa memilih untuk berada di sini kerana saya cintakan negara ini dan saya sayang semuanya di sini.
"Saya hanya meminta peminat supaya yakin dan menyokong pemain baharu yang datang, sebagai seorang pemain saya akan berikan komitment 100 peratus kepada jurulatih, peminat dan negara,” kata penyerang berusia 28 tahun itu.
Selain Aguero yang merupakan pemain kelahiran Argentina, rakan sepasukannya di Sri Pahang, Lee Tuck turut menjadi pemain naturalisasi terbaharu dipanggil buat pertama kali menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Pada saingan Piala AFF 2022, skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B akan bertemu Myanmar di Yangon (21 Disember), Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari). — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram