Tak sembang kosong, Sabah FC selangkah ke depan menjelang Piala AFC


  • Podium
  • Khamis, 15 Dis 2022

Sabah FC kini sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim Liga M 2023 dan kejohanan Piala AFC.

"LAJU Sabah buat kerja." Demikian komen majoriti penyokong Sabah FC selepas melihat tindakan pihak pengurusan kelab berkenaan untuk menaik taraf padang di pusat latihan pasukan tersebut.

Sabah FC yang kini sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi musim Liga Malaysia (Liga-M) 2023 dan kejohanan Piala AFC, berkongsi gambar mereka menaik taraf padang di pusat latihan dengan menambah baik sistem perparitan.

Perkara tersebut dilakukan bagi memastikan tiada takungan air yang boleh menjejaskan sesi latihan serta boleh mengelak dari berlakunya kecederaan kepada para pemain.

"Kerja-kerja menambah baik sistem drainage padang latihan Sabah FC sedang giat dijalankan. Penambahan subsoil, " tulis hantaran dari laman Facebook rasmi Sabah FC sambil memuat naik gambar padang tersebut.

sabah fc field

Tangkap layar proses menambah baik padang latihan pasukan Sabah.

Sebelum ini, Majoriti pernah melaporkan bahawa pihak Sabah FC dalam perancangan untuk memperkukuhkan beberapa aspek dari pasukan hingga fasiliti stadium sebagai antara persediaan ke kejohanan antarabangsa tersebut.

Nampaknya, pujian layak diberikan kepada pasukan Sang Badak yang tidak hanya sembang kosong tetapi mempamerkan kesungguhan untuk membuat pembaharuan kelab.

Selain daripada usaha menambah baik fasiliti, kelab berpangkalan di Borneo itu juga sudah menandatangani beberapa pemain baharu yang berkualiti dan berpengalaman.

Antara pemain yang berjaya ditarik Sang Badak adalah dua pemain Harimau Malaya iaitu Darren Lok dan Irfan Zakaria, selain mendapatkan khidmat Stuart Wilkin secara tetap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram