Akur desakan penyokong Harimau Malaya, FAM 'mengalah' turunkan lagi harga tiket Piala AFF


  • Podium
  • Rabu, 14 Dis 2022

Penyokong Malaysia berpeluang menyaksikan persembahan skuad kebangsaan di pentas Piala AFF dengan harga tiket serendah RM30.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan melibatkan skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil akan diturunkan serendah RM30.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, harga terkini tiket bagi setiap aksi itu ditetapkan RM30 untuk tempat duduk terbuka, RM50 (premium) dan RM60 (grandstand), manakala tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM5.

Sebelum ini, harga tiket asal RM50 diturunkan kepada RM45 bagi tempat duduk terbuka, RM70 kepada RM60 bagi tempat duduk premium dan RM100 kepada RM70 bagi tempat duduk grandstand, sementara tiket kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun berharga RM10.

Menurut Hamidin, langkah penurunan itu dibuat badan induk berkenaan selepas menerima pelbagai reaksi daripada penyokong Harimau Malaya yang masih mengharapkan penurunan harga lebih rendah.

"Bagi meneliti semula perkara ini, saya sekali lagi mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan Naib Presiden FAM Datuk Posa Majais supaya mendapatkan solusi terbaik dalam memastikan situasi menang-menang dicapai antara FAM dan penyokong.

"Selepas pelbagai pandangan, penelitian dan perincian dibuat, Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM bersetuju dengan cadangan supaya harga tiket dikurangkan lagi bagi memastikan ia dapat diterima oleh semua penyokong,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh turut memohon FAM supaya menurunkan lagi harga tiket perlawanan Piala AFF 2022 untuk kategori terbuka selepas badan induk itu mengumumkan penurunan harga tiket buat kali pertama pada Selasa.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Hannah berkata, penurunan harga tiket itu mungkin boleh meningkatkan lagi kehadiran peminat ke stadium bagi menyaksikan aksi skuad Harimau Malaya.

Prihatin dengan keadaan ekonomi semasa yang masih tidak stabil serta majoriti penyokong bola sepak adalah daripada golongan B40, Hamidin berharap pengurangan harga tiket itu mampu menggalakkan lagi kehadiran penyokong ke stadium.

Beliau berkata, pihak 'Ticket Hotline' akan memulakan proses pemulangan untuk amaun berlebihan bagi penyokong yang telah membeli tiket pada harga sebelum ini.

Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti aksi menentang Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, Vietnam di Hanoi pada 27 Disember dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari.

Skuad Harimau Malaya yang merangkul gelaran juara pada 2010, terkandas di peringkat kumpulan pada edisi lepas di Singapura. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram