BERDASARKAN khabar angin ketika ini, Sri Pahang FC dikatakan sedang giat memperkukuhkan lagi jentera serangan mereka selepas dirasakan terlalu tumpul musim lalu.
Dalam 22 aksi Liga Super, skuad Tok Gajah hanya mampu menjaringkan 33 gol dengan rekod tersebut merupakan antara yang tercorot dalam kalangan 12 pasukan.
Selain itu, terdapat juga ura-ura mengatakan penjaring terbanyak pasukan, Steven Rodriguez tidak akan lagi dalam arena bola sepak tempatan dengan majikan asalnya, Independiente Medellin mahu memanggilnya semula.
Hasrat berkenaan pastinya sukar untuk direalisasikan dengan 'Titi' berjaya memperolehi sembilan gol dalam 13 penampilan Liga Super serta dua lagi jaringan dalam pertembungan Piala Malaysia.
Oleh itu, tidak timbul segala persoalan apabila pihak pengurusan bercita-cita untuk membawa masuk seorang penyerang prolifik untuk memberi kelebihan buat mereka.
Conti menjaringkan 24 gol dalam 66 perlawanan bersama Pahang FA.
Ketika ini, pelbagai sumber sahih mengatakan bekas penyerang Terengganu, Kpah Sherman dan penggempur Penang FC, Lucas Silva bakal mengemudi barisan serangan Tok Gajah musim depan.
Ramalan itu dilihat seakan-akan bakal dibuktikan dengan kedua-dua pemain tidak akan dikekalkan dalam skuad masing-masing berikutan isu kontrak serta tahap kecergasan.
Namun, ada juga beberapa perkongsian di media sosial mengatakan bekas pemain Pahang FA, Matias Conti juga dialu-alukan kepulangannya jika dia terbuka untuk pulang ke kancah Liga Malaysia.
Musim ini, pemain berusia 32 tahun itu sedang terikat bersama kelab kecil Argentina, Deportivo Armenio selepas berkelana bersama beberapa pasukan lain di negara berkenaan.
Bagaimanapun, dengan kelab berkenaan dilihat terdapat lambakan penyerang sehingga menyekat peluang Conti membuktikan kemampuannya bersama rakan sepasukan.
Jadi, dengan Sri Pahang FC bakal ketandusan pemain di posisi berikut musim depan, ia bukanlah satu pendapat yang perlu ditolak penyokong dan pihak kejurulatihan demi kelangsungan pasukan.
Tetapi, berdasarkan tinjauan di media sosial, terdapat beberapa cadangan yang berasakan kemasukan Conti ke dalam skuad Tok Gajah tidak akan memberi sebarang perubahan kepada pasukan.
Bagi penyokong bola sepak tanah air, Din Patin, dia menegaskan kepulangan Conti perlu disekat dengan peminat setia kelab perlu memandang ke hadapan.
"Majulah ke hadapan rakan-rakan, ini cerita kehebatan dia sebelum ini sudah berapa tahun agaknya. Kenapa penyokong Pahang terlalu suka untuk bermain dengan nostalgia?" katanya.
Pally Eja pula berpendapat keputusan untuk mendapatkan penyerang kelahiran Argentina itu hanya akan merosakkan reputasinya sebagai antara import terbaik Pahang.
"Tidak perlulah dijatuhkan reputasinya sebagai seorang legenda dan bagilah pula ruang kepada pemain tempatan tahun depan untuk terus menyinar," katanya.
Ketika bersama Pahang FA sebelum ini, Conti berjaya mencipta gandingan serasi bersama seorang lagi import, Dickson Nwakaeme sehingga berjaya menjulang beberapa trofi, termasuk Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014.
Selain itu, dia juga merupakan antara watak penting buat kelab berkenaan dengan mengumpul 66 penampilan sepanjang dua musim selain berjaya menjaringkan 24 gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram