PERCATURAN pertama ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon ke atas barisan pemain baharunya membuahkan hasil setelah skuad Harimau Malaya berjaya membenam Kemboja dengan kemenangan 4-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Jumaat.
Keputusan menguji keserasian pemain baharunya menjelang kejohanan Piala Asia diambil setelah 14 tonggak utama Harimau Malaya menarik diri daripada seruan negara tersebut dengan alasan kesihatan dan urusan peribadi.
Dengan memilih Faisal Halim sebagai kapten pada babak pertama dan lilitan lengan bertukar kepada pemain berpengalaman, Safawi Rasid pada babak kedua, pasukan Harimau Malaya secara keseluruhan menampilkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.
Antara pemain yang wajar diberi pujian adalah pemain naturalisasi negara, Lee Tuck yang menunjukkan kesungguhannya mencari peluang untuk menyelinap gol ke gawang lawan.
Persembahan pemain berusia 34 tahun secara tidak langsung menepis semua kata-kata negatif berkenaan usianya dengan menyumbangkan satu gol untuk pasukan Harimau Malaya.
Selain pemain berdarah kacukan itu, seorang lagi muka baharu dilihat berhasil memanfaatkan peluang menyarung jersi Harimau Malaya buat kali pertama untuk menawan hati Pan-gon menjelang kejohanan Piala AFF.
Stuart Wilkin bijak memanfaatkan peluang terhidang dengan menjaringkan gol di saat bola hasil tendangan Safawi yang pada mulanya ditangkap penjaga gawang Kemboja muntah di hadapannya.
Sumbangan dua muka baharu dalam penampilan pertama mereka bersama pasukan Harimau Malaya itu melengkapkan dua lagi gol hasil jaringan Faisal, menjadikan keseluruhan empat gol milik skuad negara.
Biarpun kemenangan tersebut wajar dirai, namum penyokong tidak mahu skuad Harimau Malaya cepat berpuas hati dengan persembahan mereka terutama apabila Kemboja merupakan skuad lemah.
Barisan kejurulatihan Harimau Malaya menghadapi cabaran besar setelah kehilangan 14 tonggak utama mereka pada kempen Piala AFF kali ini. — FAM
Berdasarkan tinjauan Majoriti, tiga pemain disebut-sebut penyokong sebagai kurang menyerlah dan perlu dipertimbangkan sama ada untuk perbaiki permainannya atau tersingkir daripada senarai kesebelasan utama pada perlawanan akan datang.
Menurut penyokong Harimau Malaya, Burn Kalamalam III berpendapat pemain Selangor FC, Quentin Cheng tidak memberi sumbangan pada pasukan selain berlari tanpa arah tujuan yang jelas.
"Quentin ni dari dulu lagi dia hanya pandai belari sahaja. Kemahiran bermain tak ada, kemahiran mengelecek lagi out.
"Dah lebih tiga tahun di Malaysia tapi cara permainan masih tidak matang. Dia hanya ada fizikal yang besar," katanya.
Seorang lagi penyokong, Mohd Nor Izmi pula berpendapat David Rowley lambat panas dan tidak memainkan peranannya dengan baik sepanjang perlawanan tersebut.
"Sebagai pemain tengah bertahan, Rowley tak mainkan peranan dia pun. Tak ada kerja kotor, tak ada winning ball, sumbangan hantaran pun hanya pada babak kedua.
"Memang dia antara yang tidak menampilkan persembahan meyakinkan. Dia asyik terlepas bola sahaja," tegasnya.
Bagi Azizi Norman, pemilihan pemain naturalisasi, Sergio Aguero dalam skuad Harimau Malaya perlu dinilai semula kerana dia kelihatan tidak serasi dengan pasukan tersebut.
"Aguero tu merepek sahaja dia dimasukkan dalam pasukan. Bila tendang bola, terkuat pula. Bila tahan bola, 'termuntah' pula. Lari pun tak berapa laju," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram