Muncul hero Harimau Malaya, kem Terengganu sayu Faisal kini 'milik' Selangor FC


  • Podium
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Faisal memainkan peranan sebagai kapten dengan cemerlang dalam perlawanan persahabatan menentang Kemboja di SNBJ, Kuala Lumpur pada Jumaat.

KEMENANGAN mudah Malaysia 4-0 ke atas pasukan Kemboja pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Jumaat memberikan sinar buat penyokong bola sepak tempatan.

Biarpun tampil tanpa tonggak utama, Harimau Malaya membuktikan bahawa mereka mampu menyerap DNA Malaysia yang diterapkan ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam masa singkat.

Pemain lincah, Faisal Halim memainkan peranannya sebagai kapten dengan cemerlang apabila bukan sahaja berjaya meledakkan gol, malah mampu melonjakkan semangat rakan sepasukannya.

Anak jati Pulau Pinang itu menemui sentuhan pertamanya pada minit ke-11 perlawanan menerusi sepakan kencang dari luar kotak penalti.

Faisal terus menjadi watak penting apabila hantarannya berjaya disempurnakan dengan baik oleh Lee Tuck untuk menembusi gawang Kemboja buat kali kedua.

Tidak terhenti di situ sahaja, Faisal tidak teragak-agak untuk menerima hantaran daripada Darren Lok untuk terus merobek gawang Kemboja untuk kali ketiga sebelum wisel penamat babak pertama ditiup.

Biarpun tempatnya diganti oleh Safawi Rasid pada babak kedua, namun momentum yang dimulai pemain berusia 24 tahun itu dapat diteruskan oleh rakan sepasukan dengan satu lagi gol hasil jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-86 permainan.

Lincah

Kelincahan Faisal memporak-perandakan pertahanan skuad Kemboja pada perlawanan persahabatan di SNBJ, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Namun di sebalik kemeriahan dan keseronokan penyokong bola sepak tempatan meraikan kemenangan pertama Harimau Malaya, sebahagian penyokong Terengganu meluahkan rasa sayu melihat pemain kesayangan mereka tidak lagi 'berdarah' Hitam Putih.

Penyokong Skuad Penyu, Khairul Anwar berasa agak terkilan kerana Terengganu FC melepaskan pemain licik lincah mereka ketika dia berada di kemuncak prestasi.

"Macam mana Terengganu boleh lepaskan Faisal. Pemain ni tengah berada dalam kemuncak prestasi, dah kata berminat untuk kekal di Terengganu.

"Patut beri kontrak jangka panjang yang telah ditambah baik perjanjiannya. Sayang betul. Tahun depan nak ke Piala AFC," katanya.

Kenyataan itu disokong oleh Ziko yang berasa kesilapan pengurusan TFC adalah tidak menghargai pemain berketinggian 1.6 meter itu.

"Fuh! Faisal Halim. Sayunya tengok game kali ini. Sebab Mickey bukan lagi akan kembali ke Terengganu lepas habis perlawanan ini.

"Sekarang dah boleh bayangkan betapa padunya jentera serangan Selangor FC musim depan," jelasnya.

Sebagai rekod, Faisal menamatkan khidmatnya bersama Terengganu FC selepas kekalahan skud Penyu pada saingan separuh akhir Piala Malaysia, November lalu.

Tinjauan Majoriti di laman Transfermarkt mendapati profil Faisal menyatakan bahawa pemain itu telah menandatangani kontrak bersama Selangor FC pada 1 Disember lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan daripada mana-mana pihak termasuk Faisal dan Selangor FC setakat artikel ditulis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram