SELEPAS berjaya melayakkan diri ke Piala AFC musim depan, persiapan demi persiapan mula dilakukan Sabah FC dengan jendela perpindahan Liga Malaysia dibuka awal bulan lalu.
Kejayaan untuk mendapatkan penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Darren Lok dan benteng kental Kuala Lumpur (KL) City FC, Irfan Zakaria membuktikan kesungguhan mereka.
Selain itu, khabar angin turut mengatakan pihak pengurusan Sang Badak masih bertungkus-lumus membawa masuk wajah-wajah baharu bagi meningkatkan lagi kualiti skuad.
Tidak cukup dengan itu, rombakan mereka turut diteruskan dengan menyingkirkan beberapa pemain yang dirasakan kurang memberi sumbangan sepanjang musim.
Pemain pertahanan kanan, Alto Linus dan penyerang sayap, Taiki Kagayama menjadi antara tonggak terawal meninggalkan pasukan untuk memberi ruang kepada kehadiran muka-muka baharu.
Namun, di sebalik skuad Sang Badak, terdapat sebilangan pemain yang mana masa depan mereka bersama pasukan masih tidak terjawab berikutan beberapa faktor.
Antaranya, penyerang veteran, Amri Yahyah pada awalnya dikatakan tidak akan bersama pasukan Borneo itu meskipun dia merupakan antara pemain terbaik Sabah FC musim lalu.
Hal itu adalah kerana usianya yang akan mencecah 42 tahun pada musim akan datang selain terdapat ura-ura mengatakan pemain itu akan bersara daripada arena bola sepak.
Kehadiran Amri memberikan keriangan kepada penyokong Sang Badak. — Facebook/Sabah FC
Bagaimanapun, melihat kepada beberapa sumber di media sosial, pemain yang lebih dikenali sebagai 'Wak Am' itu akan terus menabur baktinya bersama Sabah FC musim depan.
Perkara itu dikongsikan menerusi laman Facebook Penyokong Sabah FC yang berasakan berita berkenaan pastinya menggembirakan penyokong dengan karakter serta sumbangan Amri berjaya menambat hati mereka.
"Amri Yahyah bakal menyamai rekod bekas pemain, Shukor Adan yang beraksi pada usia 42 tahun dalam Liga Malaysia. Difahamkan, Amri kekal bersama Sabah FC musim depan. Old is gold," katanya.
Menerusi tinjauan di ruangan komen, rata-rata penyokong bersetuju dengan keputusan mengekalkan bekas penyerang skuad Harimau Malaya itu apatah lagi mereka bakal beraksi di pentas Asia musim depan.
"Salah satu pelaris dan penghibur setiap kali tengok dia bermain di Stadium Likas, Sabah. Setiap kali dia masuk padang sebagai pemain gantian, penyokong pasti akan bersorak," kata Sudiman Lauming.
"Masih relevan untuk mengekalkan Amri Yahyah. Walaupun usianya sudah semakin tua, dia boleh jadi seorang pembakar semangat dan boleh dipakai dalam Piala AFC nanti," kata Run Onalz.
"Pada saya, dia ni bijak dan kelakar. Pencen di sini sajalah, Wak Am. Jadilah jurulatih atau apa-apa yang sesuai untuk pasukan ini," kata Eleazar Milka.
Musim lalu, pemain kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu membuktikan sentuhannya di atas padang dengan menjaringkan lima gol dalam 18 penampilan Liga Super.
Di samping itu, Amri turut menjadi watak utama di sebalik kejayaan Sabah FC yang menamatkan saingan liga di tangga ketiga serta kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram