Selain Pawi, 3 bintang bola sepak masih 'on form' atas padang walaupun kahwin muda


  • Podium
  • Ahad, 11 Dis 2022

Safawi selamat bergelar suami Syifa dengan sekali lafaz pada 28 November lalu. — Instagram/SyifaMelvin

BARU-BARU ini, peminat bola sepak tempatan meraikan perkahwinan bintang bola sepak kebangsaan, Safawi Rasid dan pasangannya, Syifa Melvin.

Pemain Harimau Malaya itu disajikan dengan 'chant' nyanyian selamat pengantin baru daripada Ultras Malaya ketika Malaysia bertemu Kemboja dalam aksi pemanas badan Piala AFF bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Dalam perlawanan persahabatan itu, pemain sayap negara tersebut menyajikan persembahan yang memberangsangkan walaupun diturunkan sebagai pemain gantian pada babak kedua perlawanan.

Walaupun cubaan menjaringkan gol dilihat tidak berapa menjadi, pemain berusia 25 tahun itu dilihat masih memiliki ketajaman untuk membantu skuad kebangsaan mencipta kejayaan.

Selain Safawi, berikut tiga lagi pemain bola sepak kebangsaan yang masih berbisa walaupun kahwin muda:

1. Faisal Halim

315833782_1602064776890864_1039821724914727861_n

Mickey berkahwin pada usia 21 tahun dan kini sudah dikurniakan seorang anak lelaki. — Faceebok/TFC

Siapa sangka penyerang lincah skuad kebangsaan, Faisal Halim mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan hati, Nur Syazwani Mizuana Shahril pada usia yang begitu muda.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkahwin pada usia 21 tahun dan kini sudah dikurniakan seorang anak lelaki.

Walaupun menamatkan zaman bujangnya pada usia muda namun ia tidak menjadi alasan bagi pemain yang dikhabarkan akan berpindah ke Selangor FC itu untuk mencipta nama di persada bola sepak tanah air.

Malah, rentak permainan pemain berasal dari Seberang Jaya, Pulau Pinang itu semakin lincah di atas padang.

Ia terbukti sepanjang kariernya bersama skuad Sang Penyu, Faisal merupakan penyerang yang digeruni pihak lawan.

Mickey menggunakan kelincahannya untuk merobek gawang lawan apabila membuktikannya menerusi enam gol dalam Liga Super musim lalu.

Malah, ketangkasan pemain berketinggian 158 sentimeter ini turut berjaya meledak dua gol ketika menentang Kemboja dalam aksi pemanas badan Piala AFF bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

2. Syafiq Ahmad

316059474_2446017945561490_8576937172902082266_n

Syafiq Ahmad melayari bahtera perkahwinan bersama pilihan hatinya, Nor Amalina pada usia 22 tahun pada 2017. — Facebook/JohorSouthernTigers

Siapa yang tidak kenal dengan pemain Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad yang kini menjadi rebutan kelab-kelab termasuk kelab elit Perak FC pada musim depan.

Seperti Faisal, pemain dari Utara tanah air itu melayari bahtera perkahwinan bersama pilihan hatinya, Nor Amalina pada usia 22 tahun pada 2017.

Walaupun diuji dengan dengan kematian anak keduanya pada 2020, namun tragedi tersebut tidak mematahkan semangat Syafiq untuk kembali menyinar dalam kancah bola sepak tempatan.

Syafiq juga mendapat panggilan kebangsaan bagi menyertai Harimau Malaya di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dan Kim Pan-gon sebagai penyerang skuad kebangsaan.

Ketika menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Oktober lalu, Syafiq dianggap sebagai wira selepas menjaringkan dua gol. Pada perlawanan tersebut, JDT menang mudah 4-1 ke atas KDA FC.

Peledak berbisa itu juga mencetak 10 gol peribadi sepanjang kariernya dalam skuad kebangsaan sejak 2017.

3. Muhammad Haziq Nadzli

313416234_2440511046112180_7920006117708403258_n

Haziq Nadzli bergelar suami kepada pelakon Eyra Hazali pada tahun 2019. — Facebook/JohorSouthernTigers

Selain Syafiq, seorang lagi pemain JDT, Muhammad Haziq Nadzli menamatkan zaman bujangnya pada usia 21 tahun.

Lebih dikenali dengan panggilan Haziq, penjaga gol JDT itu bergelar suami kepada pelakon Eyra Hazali pada 2019.

Bapa kepada dua orang anak lelaki itu juga merupakan salah seorang penjaga gawang yang pernah diberi kepercayaan ketua jurulatih Harimau Malaya ketika itu, Cheng Hoe untuk menyertai skuad kebangsaan pada 2019.

Baru berusia 24 tahun, Haziq dikatakan masih mempunyai perjalanan karier yang panjang dan antara pemain yang bakal menjadi tonggak utama skuad Harimau Selatan menggantikan Farizal Marlias suatu hari nanti terutamanya selepas penjaga gol kedua JDT, Mohd Izham Tarmizi dikatakan hampir pasti menyertai Sri Pahang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram