Akur desakan penyokong, FAM turunkan harga tiket Piala AFF


  • Podium
  • Selasa, 13 Dis 2022

Hamidin (tiga dari kanan) mengambil kira keluhan penyokong berkenaan dengan harga tiket.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan penurunan harga tiket bagi dua perlawanan peringkat kumpulan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 menentang Laos dan Singapura yang akan berlangsung pada 24 Disember dan 3 Januari.

Setiasaha Agong FAM, Noor Azman Rahman berkata, FAM mengambil kira luahan penyokong yang rasa terbeban dengan harga tiket tersebut.

"Atas rasa prihatin dan selepas mengambil kira keluhan penyokong Harimau Malaya serta mendengar pandangan daripada banyak pihak, Presiden FAM, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin telah mengarahkan Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM, Datuk Posa Haji Majais untuk membincangkan perkara berkenaan.

"Selepas membuat pertimbangan sewajarnya, Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM telah membuat keputusan untuk harga tiket tempat duduk Terbuka diturunkan ke RM45, Premium diturunkan ke RM60 dan Grandstand diturunkan ke RM70. Bagaimanapun, harga tiket kanak-kanak kekal pada harga RM10.

"Bagi penyokong yang telah pun membeli tiket berkenaan pada harga asal, proses pemulangan (refund) untuk amaun yang berlebihan itu akan diuruskan oleh pihak Ticket Hotline.

FAM

"Semoga penurunan harga tiket ini akan dapat mengurangkan sedikit beban para penyokong untuk ke stadium bagi menyaksikan kedua-dua perlawanan berkenaan.

"Untuk makluman semua, Datuk Hamidin sentiasa prihatin mendengar apa juga keperluan penyokong dan sangat menghargai sokongan tidak berbelah bagi yang telah diberikan oleh anda semua, penyokong setia Harimau Malaya yang sentiasa berada di belakang pasukan," katanya dalam kenyataan rasmi dikeluarkan badan tersebut.

Terdahulu, penyokong menganggap harga tersebut tidak berbaloi bagi perlawanan peringkat kumpulan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Terdapat beberapa peminat yang menulis kepada Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Hannah Yeoh serta timbalannya, Adam Adli menerusi media sosial agar campur tangan dalam isu ini.

Sebagai rekod, FAM menjual harga tiket pada saingan edisi 2018 lalu dengan harga RM30 bagi tempat duduk Granstand, RM20 bagi tempat duduk terbuka manakala tiket kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun berharga RM5.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram