MESKIPUN sudah hampir dua tahun meninggalkan Sri Pahang FC, bekas ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Thomas Dooley tampil mendedahkan pengalaman buruknya sepanjang melatih kelab tersebut pada awal tahun lalu.
Dooley yang berkongsi kisahnya itu di laman Facebook miliknya berkata, antara cabaran awal dihadapinya apabila pihak pengurusan terlebih dahulu melepaskan tiga tonggak terbaik skuad itu tanpa berbincang dengannya.
Bukan itu sahaja, hasratnya untuk mengambil tujuh pemain yang diinginkannya juga ditolak oleh pihak pengurusan, selain dia turut meluahkan terdapat tiga tonggak berpengalaman bersama empat barisan kejurulatihan tidak datang awal untuk sesi latihan.
Dooley mendedahkan menghadapi kesukaran bekerja bersama Datuk Dollah Salleh.
Bekas kapten pasukan Amerika Syarikat itu juga memberitahu ada barisan pemain dan kejurulatihan tidak menonton permainan pasukan lawan yang akan dihadapi serta menyatakan Sri Pahang tidak mempunyai bilik persalinan.
Selain menghadapi masalah dengan pemain, tidak puas hati terhadap fasiliti dan padang, Dooley turut mendedahkan kesukaran dihadapinya untuk bekerja bersama Datuk Dollah Salleh.
Menurut Dooley, dia sememangnya tidak mempercayai Dollah kerana ramai sudah memberi amaran kepadanya sebelum itu tentang sikap jurulatih berpengalaman tersebut dan beberapa kakitangan kejurulatihan lain.
Memberi respons mengenai dakwaan pengendali berusia 61 tahun itu, Dollah menyatakan bahawa apa yang diceritakan Dooley adalah kenyataan yang mengarut dan rekaan semata-mata.
Bagaimanapun, ini bukan kali pertama jurulatih import lantang mengkritik kelab di Malaysia dan percaya atau tidak dakwaan seperti Dooley itu pernah disuarakan oleh beberapa pengendali sebelum ini.
Berikut Majoriti menyenaraikan empat pengendali import yang pernah mengkritik majikannya:
1) Peter James Butler [Kelantan FC]
Peter Butler digugurkan selepas tiga bulan berkhidmat bersama pasukan Kelantan. — Agensi
Penyokong Kelantan FC pasti mengenali pengendali bernama Peter James Butler yang mana hanya sempat mengendalikan pasukan itu selama tiga bulan dek kerana perang dingin antara dirinya dengan pihak pengurusan, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Peter Butler yang sebelumnya merupakan pengendali Kelantan pada 2008-2009 kembali selepas dua tahun meninggalkan pasukn itu, namun ia tidak bertahan lama apabila dia menyuarakan isi hatinya berkenaan campur tangan pihak pengurusan.
Difahamkan bekas pemain West Ham United itu mendedahkan bahawa dia tidak mempunyai kuasa penuh sebagai jurulatih dah hanya sekadar mengikut sahaja telunjuk KAFA terutamanya dalam urusan penting seperti pemilihan pemain.
Antara pemain yang tidak dikenali pengendali dari England itu tetapi pihak pengurusan bertegas untuk membawa masuk ialah tonggak import Nigeria, Onyekachi Nwoha.
Sejurus sahaja kenyataan berani yang dikeluarkan oleh pengendali berusia 46 tahun itu, Presiden KAFA ketika itu, Tan Sri Annuar Musa menganggap Peter Butler seorang yang tidak profesional dan menamatkan khidmatnya selepas tiga bulan menabur bakti.
2) Aidil Sharin Sahak [Kedah Darul Aman (KDA FC)]
Aidil Shahrin menyatakan pernah tidak dibayar gaji selama lima bulan. — Facebook/KDA FC
Selepas KDA FC mengumumkan penamatan khidmat Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih pasukan itu susulan kemerosotan prestasi dalam saingan Liga Super 2022, timbul isu yang tidak menyenangkan membabitkan pengendali berkenana dan pihak pengurusan.
Pada penghujung Oktober lalu, pengendali kelahiran Singapura itu mengeluarkan kenyataan menerusi komen di laman Instagram yang menyatakan bahawa dia pernah berdepan isu tunggakan gaji ketika bersama pasukan Sang Kenari.
"Terima kasih negeri Kedah, anda perlu fikir apabila pasukan tidak terima gaji selama lima bulan, anda perlu bersyukur pasukan masih boleh beroperasi seperti biasa dan menamatkan kedudukan di tangga kedua," tulisnya.
Namun begitu, kenyataan yang dikeluarkan ketua jurulatih berusia 45 tahun itu dibalas oleh pihak pengurusan dan menyatakan ia adalah isu pada 2020 ketika wabak Covid-19 melanda dunia.
“KDA FC menafikan sekeras-kerasnya sejak penubuhan KDA FC pada tahun 2021, kelab pada mana-mana tempoh menghadapi isu tunggakan gaji sehingga 5 bulan. Tiada tunggakan gaji kepada pasukan hingga ke hari ini.
"Namun, fakta sebenarnya adalah pada musim 2020 apabila wabak Covid-19 melanda dunia, semua pasukan Liga Malaysia terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, yang mana telah menjejaskan penajaan kelab. Ketika itu, pasukan Kedah dibawah pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman mengalami isu tunggakan gaji selama 5 bulan dan telah diselesaikan oleh pengurusan ketika itu," jawab pihak pengurusan KDA FC.
3) Karl-Heinz Weigang [Perak FC]
Selain Perak, Weigang turut pernah mengendali pasukan Johor FA. — Agensi
Bekas jurulatih skuad bola sepak Perak, mendiang Karl Heinz Weigang turut dilabel sebagai antara pengendali import yang lantang bersuara dan memberi kritikan terhadap pihak pengurusan kelab.
Pengendali veteran kelahiran Jerman itu sebelum ini pernah menyatakan kekecewaannya terhadap Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang tidak pernah memandang serius untuk menyediakan padang latihan tetap sejak 1997.
Untuk rekod, mendiang Weigang sebelum ini melatih Perak FA pada musim 1997 sehingga 2000 dan dia kembali dipanggil untuk mengemudi skuad The Bos Gaurus pada 2016-2017.
Tetapi menurut PAFA, mereka sudah menyediakan tiga pilihan padang (Padang Majlis Bandaraya Ipoh, Manjung dan Pernama) untuk Weigang dan ketiga-tiga padang itu sedia digunakan.
Bukan itu sahaja, ada yang mendakwa sikapnya yang mengkritik persembahan pemain-pemainnya secara terbuka di depan media, selain menyimpan pemain bintang menjadi punca digugurkan dari skuad Seladang pada Februari 2017.
4) Mario Gomez [Johor Darul Takzim (JDT)]
Gomez bersetuju meninggalkan JDT pada 2017. — Facebook/JDT
Siapa sangka kelab yang dilabel sebagai antara pasukan terkaya di Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT), pernah terpalit dengan isu tunggakan gaji bekas jurulatih Harimau Selatan.
Pada Disember 2017, Mario Gomez dilaporkan akan mengheret pemilik JDT, Tunku Ismail Ibrahim ke mahkamah berhubung isu gaji tertunggak.
Membalas dakwaan Gomez, Tunku Ismail dalam salah satu perkongsian di laman media sosialnya berkata, dengan reputasi JDT, tuduhan tidak melunaskan tunggakan gaji adalah sangat tidak munasabah.
Menambah kenyataan pemilik Harimau Selatan itu, Pengarah Teknikal JDT ketika itu, Alistair Edwards, memperincikan dakwaan Gomez sebagai tuduhan mengarut dan dakwaan tidak membayar gaji adalah tidak benar sama sekali. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram