DEBUT bersama skuad Harimau Malaya digunakan sebaiknya pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck selepas memperoleh status naturalisasi pada September lalu.
Pemain kelahiran Huddersfield, England itu mencetak satu gol buat Malaysia dalam aksi pemanas badan menentang Kemboja untuk kempen Piala AFF 2022.
Rata-rata penyokong melihat pemain tengah itu mempamerkan aksi mantap yang tidak mengecewakan dalam skuad eksperimen ketua jurulatih Kim Pan-Gon sebelum aksi sebenar pada 21 Disember depan.
"Biarpun musim ini namanya langsung tidak kedengaran atau diperkatakan, dia (Lee Tuck) membuktikan prestasinya tetap sama seperti musim sebelum ini.
"Work rate yang tinggi dipamerkan di atas padang bakal menyaksikan musim depan dia bakal menjadi jeneral di atas padang," kata Jan Fadzli di Facebook KDA FC.
Kesungguhan Lee Tuck bermain untuk Malaysia mendapat pujian kebanyakan penyokong bola sepak tempatan yang berasakan dia lebih layak untuk beraksi dengan Sabah FC.
Gandingan Lee Tuck bersama Darren Lok yang sah ke Sabah FC musim depan dirasakan dapat mencipta serangan mantap. — Facebook
Ini kerana kelab Borneo itu bakal mendepani cabaran besar dalam saingan Piala AFC selepas berjaya menyambar slot kedua ke perlawanan antarabangsa itu.
"Datang Sabah lah Lee Tuck... main AFC," kata STech Comp.
"Pemain lincah ni ngam main untuk Sabah sebab banyak gandingan," kata Harith Adam pula.
Rydans Syah pula berpendapat Lee Tuck boleh bergandingan dengan Darren Lok di The Rhinos seperti mana mereka mencipta keserasian di Harimau Malaya.
"Jackpot untuk Sabah musim depan bila dapatkan khidmat Darren Lok ni. Dia punya pressing tiada ubat.
"Fluid serangan tiga serangkai dengan Lee Tuck dan Faisal Halim di depan menghasilkan link up yang baik untuk hasilkan gol Malaysia," tambahnya.
Selain Sabah, ada juga penyokong yang mengidamkan pemain berusia 34 tahun itu untuk beraksi di Kedah di bawah kendalian Nafuzi Zain.
"Awat (Kenapa) Nafuzi tak mau ambil dia mai Kedah...dia main tengah kan. Rajin tak padan dengan umur. Disiplin pun tinggi dalam padang," kata Saiful Hafiz.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kempen Piala AFF di Stadium YTC Thuwanna, Myanmar menentang negara itu pada 21 Disember sebelum beraksi di tempat sendiri ketika bertemu Laos pada 24 Disember. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram