Mickey bangga muka baharu pamer semangat juang tinggi


  • Podium
  • Sabtu, 10 Dis 2022

Faisal Halim berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Facebook/FAM Malaysia

SUSULAN kejayaan skuad kebangsaan menewaskan pasukan Kemboja dalam perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat, kapten pasukan negara Mohamad Faisal Abdul Halim memuji persembahan cemerlang rakan sepasukan yang rata-ratanya merupakan pemain baharu.

Dalam perlawanan itu, pasukan Malaysia berjaya membenam cabaran Kemboja dengan keputusan 4-0.

Pemain sayap sensasi itu yang meledak dua gol dalam pertembungan tersebut mengakui berasa gembira dengan semangat juang dipamerkan rakan sepasukan berbanding dua jaringan bergayanya.

"Saya tak perlu berbangga dengan dua jaringan itu, yang saya bangga sekarang pemain tak pernah beraksi dalam skuad Harimau Malaya, pada malam ini semua dapat berikan komitmen baik, saya sangat terkejut.

"Jurulatih Kim (Kim Pan Gon) jalankan tanggungjawab yang sukar sebenarnya apabila panggil kebanyakan pemain tidak pernah bersama sebelum ini tetapi pemain buktikan yang mereka memang layak berada dalam skuad, itu saya bangga,” katanya ketika.

Selain meledak dua gol, pemain Terengganu FC berusia 24 tahun itu turut membantu pemain naturalisasi Lee Tuck menjaringkan gol pertamanya pada penampilan sulung bersama pasukan negara sebelum Stuart Wilkin turut mengikuti jejak sama dengan jaringan pada penghujung aksi.

Tuck, 34, yang juga penyerang pasukan Sri Pahang FC menyifatkan kemenangan ke atas Kemboja sebagai permulaan baik buat dirinya dalam skuad kebangsaan.

"Ia agak sukar kerana saya tidak beraksi selama 11 bulan dalam perlawanan bola sepak. Saya cuma bermain 90 minit dalam Piala Malaysia pada pusingan 16.

"Jadi, ia satu cabaran yang sukar untuk persediaan daripada segi mental dan fizikal bagi mendapatkan kecergasan tetapi saya sudah lakukan yang terbaik untuk mempersiapkan badan dan minda saya,” katanya.

Sementara itu, Wilkin berkata, kejayaan diraih merupakan petanda positif dalam usaha pemain memenuhi tuntutan Pan Gon menjelang Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 pada 20 Disember hingga 16 Januari depan.

Pemain tengah Sabah FC berusia 24 tahun itu turut menzahirkan rasa gembira kerana menjaringkan gol pertamanya di peringkat antarabangsa sekali gus menyumbang kepada kejayaan skuad negara.

"Sungguh menakjubkan, ia bagai mimpi dapat menjaringkan gol dalam penampilan pertama. Saya sangat bangga dapat mewakili negara dan bermain dalam perlawanan ini, saya harap akan terus dapat peluang lagi,” kata pemain kelahiran England itu.

Skuad kebangsaan akan menghadapi satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Maldives di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu sebelum memulakan kempen Piala AFF menentang Myanmar di Yangon, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B pada 21 Disember ini.

Malaysia dijadual berdepan Laos di Bukit Jalil pada 24 Disember, diikuti Vietnam di Hanoi pada 27 Disember dan menerima kunjungan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari dalam perlawanan terakhir Kumpulan B. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram