Dikatakan 'merajuk', FPF nafi Cristiano Ronaldo ancam tinggalkan Portugal di Piala Dunia


  • Podium
  • Jumaat, 09 Dis 2022

Santos membuat salah satu keputusan terbesar dalam kariernya apabila mengetepikan Ronaldo. — Agensi

PERSEKUTUAN Bola Sepak Portugal (FPF) menafikan laporan media bahawa Cristiano Ronaldo mengancam untuk meninggalkan kem pasukan Portugal pada Piala Dunia 2022 di Qatar.

“FPF menjelaskan bahawa kapten pasukan, Cristiano Ronaldo tidak pernah mengancam untuk meninggalkan skuad kami pada bila-bila masa di Qatar.

“Tahap komitmen pemain antarabangsa Portugal yang paling banyak beraksi sekali lagi ditunjukkan menerusi kemenangan pasukan kami ke atas Switzerland pada Selasa,” kata persekutuan itu pada Khamis.

Susulan daripada kenyataan FPF, Ronaldo mengesahkan komitmennya kepada Portugal dan pasukan menerusi ciapan di Twitter.

“Pasukan ini terlalu bersatu dan ia tidak akan dapat dipecahkan oleh mana-mana faktor luaran. Kami bangsa yang tidak takut dengan sebarang musuh.

"Kami sebuah pasukan yang akan berjuang untuk menggapai impian hingga ke akhirnya! Percayalah kepada kami!" tulis pemain berusia 37 tahun itu dalam ciapannya.

Goncalo Ramos muncul sebagai wira baharu skuad kebangsaan Portugal. —Agensi

Ronaldo, yang mengetuai skuad kebangsaan Portugal dalam latihan pada Khamis, diletakkan di bangku simpanan oleh jurulatih Fernando Santos pada pertembungan pusingan ke-16, Portugal menentang Switzerland pada Selasa.

Pemenang Ballon d'Or lima kali itu hanya muncul pada minit ke-73 perlawanan tersebut.

Situasi seperti itu merupakan kali pertama penjaring gol terbanyak sepanjang masa Portugal itu tidak dinamakan dalam pasukan utama kebangsaan untuk perlawanan di kejohanan utama sejak 2008.

Goncalo Ramos, pemain muda yang diturunkan untuk menggantikan Ronaldo dalam kesebelasan utama, membuktikan pasukan itu mampu pergi jauh tanpa jaguhnya selepas berjaya meledakkan hatrik buat pasukan Portugal.

Dalam pertemuan itu, Portugal berjaya layak ke suku akhir dengan kemenangan 6-1 ke atas Navigators.

Sebagai rekod, Ronaldo tampil di Piala Dunia dengan kontroversi berkaitan tindakannya dia mengkritik pengurus pasukan dan pemilik kelab Manchester United dalam satu temu bual media sehingga dia ditamatkan kontrak bersama pasukan tersebut.

Biarpun Ronaldo dikatakan bakal bermain di kelab mega Arab Saudi, Al-Nassr selepas Piala Dunia, bintang dunia itu menafikan laporan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram