Bakal berdepan Switzerland, misi Ronaldo buru gol ke-9 di penampilan ke-5 Piala Dunia


  • Podium
  • Selasa, 06 Dis 2022

Portugal masih berteka-teki untuk membariskan Ronaldo menentang Switzerland ekoran prestasi menurun pemain itu. — Agensi

CRISTIANO Ronaldo tersenarai antara 26 pemain yang dipanggil pengurus pasukan Portugal, Fernando Santos untuk memperkuatkan skuad A Selecao di Piala Dunia 2022 Qatar.

Bintang bola sepak berusia 37 tahun itu masih menjadi salah seorang pemain penting Portugal, meskipun musim ini tampil kurang menyerlah bersama Manchester United.

Sebagai pemain yang sudah lima kali tampil di pentas Piala Dunia, Ronaldo yang baru menandatangani kontrak dengan kelab Al-Nassr dalam misi menambah rekod peribadi.

Ronaldo yang popular dengan jolokan CR7 perlu membantu pasukan negara kelahirannya untuk menghadapi perlawanan sukar menentang Switzerland bagi menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia.

Dia berpeluang mencari gol kesembilan dalam lima penampilan Piala Dunianya yang andai dapat dicapai, ia bakal menjadi suatu peristiwa penting buat pemain terbaik dunia itu.

PORTUGAL

Ronaldo meledak gol pembukaan Portugal ketika menyempurnakan sepakan penalti sewaktu menewaskan Ghana 3-2. — Agensi

Bekas penyerang Real Madrid itu sebelum ini menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia selepas mencetak gol ketika membantu Portugal menang 3-2 ke atas Ghana dalam saingan Kumpulan H.

Berdasarkan rekod perlawanan antara Portugal dan Switzerland, kedua-dua pasukan kelihatan seimbang apabila masing masing pernah mencatatkan kemenangan ketika bertemu dalam aksi Liga Negara-Negara tahun ini.

Saingan kalah mati antara Portugal dan Switzerland akan menjadi perlawanan kedua di Stadium Lusail pada 3 pagi Rabu.

Pemenang akan berdepan Maghribi atau Sepanyol yang turut berebut tempat untuk ke aksi suku akhir.

Kali terakhir Portugal berjaya mara melepasi suku akhir adalah ketika edisi 2006 di Jerman apabila mengakhiri saingan di kedudukan keempat selepas tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 1-3. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram