BINTANG dan kapten skuad Portugal, Cristiano Ronaldo sah meninggalkan Manchester United hasil persetujuan bersama berkuat kuasa serta-merta, lapor Xinhua memetik pengumuman yang dibuat pasukan Liga Perdana Inggeris itu pada Selasa malam.
Pemain berusia 37 tahun itu menyertai semula Manchester United pada Ogos 2022, tetapi sukar untuk menyesuaikan diri di bawah pengurus The Red Devils, Erik ten Hag sejak pengendali Belanda itu tiba di Old Trafford musim ini.
Menjelang Piala Dunia 2022 di Qatar, Ronaldo lantang mengkritik kedua-dua kelab dan pengurus secara terbuka dalam satu sesi temu bual hingga membawa kepada keputusan itu pada Selasa.
"Kelab berterima kasih atas sumbangan besarnya dalam dua kali beliau menyertai pasukan Old Trafford, menjaringkan 145 gol dalam 346 penampilan, serta mengucapkan selamat maju jaya terhadap dirinya dan keluarga pada masa depan.
"Semua pihak di Manchester United kekal fokus untuk meneruskan kemajuan di bawah Erik ten Hag dan bekerjasama untuk meraih kejayaan di atas padang,” menurut kenyataan itu.
Ronaldo ketika ini sedang melakukan persiapan terakhir bersama skuad Portugal dalam kempen Piala Dunia dengan mereka dijadualkan untuk bertemu wakil Afrika, Ghana pada Khamis.
Sebelum ini, beberapa gergasi Eropah dikhabarkan berminat untuk menyambar khidmat pemain berpengalaman itu dengan Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) dilaporkan sedang merisik pemain itu.
Musim ini, Cristiano Ronaldo jarang diletakkan dalam kesebelasan utama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus merencatkan prestasinya dengan hanya satu gol berjaya diperoleh setakat ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram