Ronaldo bukan ancaman, Ghana tidak gentar berdepan Portugal


  • Podium
  • Khamis, 24 Nov 2022

Cristiano Ronaldo bakal menggalas tanggungjawab besar ketika berdepan Ghana. — Agensi

PASUKAN pilhan Piala Dunia Qatar 2022, Portugal bakal memulakan aksi Kumpulan H apabila dijadualkan bertemu wakil Afrika, Ghana yang akan berlangsung pada 12 tengah malam pada Jumaat.

Ketua jurulatih, Fernando Santos pasti meletakkan kepercayaan penuh kepada kapten pasukan, Cristiano Ronaldo untuk mengemudi skuad dalam merekodkan satu kempen yang lebih baik.

Bagaimanapun, kepercayaan itu seakan-akan sukar untuk direalisasikan apabila kemelut pemain berusia 37 tahun itu dengan Manchester United menyaksikan kontrak antara mereka terlerai.

Hal itu berlaku berikutan komen yang dikeluarkan bekas penyerang Real Madrid itu terhadap kelab dan pengurus The Red Devils, Erik Ten Hag selepas permulaan musim sukar.

Namun, bagi Pengarah Teknikal pasukan Ghana, Otto Addo, dia tidak melihat perkara itu akan memberi kesan besar kepada Ronaldo, sekali gus menegaskan ia bukanlah satu cabaran besar.

_127396904_392781b2-fc07-4788-9c21-df8e67d55103

Otto dilantik sebagai Pengarah Teknikal pasukan Ghana untuk Piala Dunia 2022. Agensi

"Sejujurnya, saya tidak terlalu mengambil berat. Ia bukanlah masalah kepada kami dan saya tahu kesemua pihak berhasrat untuk menang dan apa-apa yang terjadi sekali pun, Piala Dunia merupakan satu pentas besar," katanya.

Perkara itu dilaporkan Up ketika ditanya mengenai adakah skuad The Black Star akan menggunakan situasi itu sebagai satu kelebihan dalam pertembungan tersebut.

Dalam masa sama, kapten pasukan Ghana, Andre Ayew turut meluahkan pendapat yang sama dengan sekali lagi berpendapat ia bukanlah satu isu besar buat pemain dengan kredibiliti sebegitu.

"Ia bukanlah satu fokus buat pasukan sekiranya terdapat apa-apa isu yang melanda pasukan lawan dan saya juga fikir bahawa Portugal merupakan satu pasukan yang profesional.

Kedua-dua pasukan sebelum ini pernah diundi dalam pasukan yang sama ketika Piala Dunia Brazil 2014, yang mana Portugal menang dengan skor 2-1 selepas Cristiano Ronaldo menjaringkan gol kemenangan.

Pertembungan pada Jumaat itu bakal diadakan di Stadium 974 dengan penyokong kedua-dua pasukan diramal bakal membanjiri arena dengan kapasiti melebihi 44,000 tempat duduk itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram