CABARAN besar buat skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF kali ini apabila skuad akan dibarisi oleh muka-muka baharu setelah 14 tonggak utama menarik diri baru-baru ini.
Bukan sahaja kekurangan pengalaman bermain bersama skuad Harimau Malaya, pemain-pemain baharu ini juga perlu adaptasi dengan falsafah dan model permainan yang bertepatan dengan 'DNA Malaysia'.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon akui optimis dengan cabaran itu dan memberi bayangan akan ada muka baharu yang tampil dalam kesebelasan utama pasukan nanti.
Pengendali berusia 52 tahun tersebut mahu memanfaatkan dua aksi persahabatan menentang Kemboja pada Jumaat dan Maldives pada Rabu depan sebagai medan uji kaji bagi menilai sama ada pemain benar-benar bersedia ataupun tidak sebelum ke Piala AFF.
Menurut bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir, situasi yang dihadapi Pan-gon itu merupakan peluang terbaik untuknya meluaskan lagi pilihan pemain menjelang kempen Piala Asia nanti.
Tambahnya, menang atau kalah pada perlawanan persahabatan nanti bukanlah misi utama tetapi Pan-gon harus segera melihat sekiranya pemain-pemain ini berkemampuan untuk menterjemahkan tunjuk ajarnya di atas padang.
"Menang atau kalah pada perlawanan persahabatan ini bukanlah ukuran pada prestasi kita pada Piala AFF. Tapi ini akan dapat membantu Pan-gon untuk menilai sama ada pemain-pemain sesuai untuk perlawanan antarabangsa.
Situasi penarikan diri pemain memberi kelebihan kepada Pan-gon untuk menambah lagi pilihan pemain menjelang kejohanan Piala Asia nanti.
"Tak semua pemain yang hebat di perlawanan domestik akan memiliki prestasi serupa di peringkat antarabangsa. Justeru, masa terbaik untuk mencungkil permata-permata baharu adalah sekarang," jelasnya.
Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu yakin pemain-pemain baharu ini memiliki keazaman tinggi untuk menonjolkan kebolehan diri agar mereka dipilih menyarung jersi Harimau Malaya pada kempen Piala Asia nanti.
Kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada Jun dan Julai 2023 tetapi ditangguhkan sehingga awal 2024 untuk mengelak musim panas di Qatar.
"Berdasarkan pengalaman saya, pemain-pemain di luar 'kotak' ini akan bermain habis-habisan untuk menonjol kebolehan diri mereka.
"Tidak mustahil sekiranya mereka yang tarik diri ini akan berdepan risiko tidak dipilih semula untuk senarai pilihan Piala Asia dan digantikan dengan pemain-pemain baharu yang menunjukkan prestasi baik.
"Tapi mungkin pemain JDT, terutamanya, tidak kisah sekiranya mereka tidak dipanggil ke Piala Asia kerana ada di antara mereka yang lebih suka bermain untuk kelab berbanding negara. Tapi, itu terpulanglah pada masing-masing," jelasnya.
Malaysia akan terlibat dengan perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan
Skuad Harimau Malaya bakal memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan pertemuan bersama Myanmar di Stadium Thuwanna YTC pada 21 Disember sebelum pulang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Disember untuk menentang Laos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram