Anwar persembah senarai Kabinet di Istana Negara


  • Politik
  • Jumaat, 02 Dis 2022

KENDERAAN yang membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di pekarangan Istana Negara, pada Jumaat. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Istana Negara pada Jumaat, dipercayai untuk mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kenderaan membawa Anwar dilihat memasuki pintu utama Istana Negara di Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.23 pagi.

Dipercayai pertemuan itu bagi mempersembahkan senarai nama jemaah kabinet Kerajaan Perpaduan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tindakan itu dipercayai bagi membolehkan Kabinet Kerajaan Perpaduan itu dapat dibentuk segera berikutan Seri Paduka dijangka ke luar negara esok.

Dalam satu Majlis Ramah Mesra Reformis di Sungai Long, Kajang, pada Khamis, Anwar mengesahkan akan menghadap Seri Paduka pada Jumaat.

Malah, Perdana Menteri memaklumkan perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kerajaan perpaduan hampir selesai dan berharap dapat diumumkan dalam masa terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram