'HM hilang 14 pemain cuti sakan sana-sini? No problem... 8 bintang Selangor FC kan ada'


  • Podium
  • Khamis, 08 Dis 2022

Skuad Harimau Malaya bakal menemui cabaran pertamanya di Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Jumaat. — FAM

KONTROVERSI 14 pemain menarik diri daripada menyarung jersi skuad Harimau Malaya menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric bermula 20 Disember depan menjadi nadi perbualan penyokong bola sepak tempatan belakangan ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini memaklumkan 11 pemain Johor Darul Takzim termasuk Arif Aiman Hanapi, Corbin Ong, Shahrul Saad, Matthew Davies dan Natxo Insa serta tonggak Sri Pahang, Nor Azam Azih tidak dapat menyertai kem kali ini atas pelbagai alasan seperti urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Kemudiannya pada hari pertama kem latihan, dua lagi pemain, Akram Mahinan dan Declan Lambert pula turut menarik diri daripada skuad Harimau Malaya kerana urusan peribadi.

Kemarahan penyokong tempatan terus dihangatkan lagi dengan perkongsian pemain-pemain JDT yang tidak segan untuk berkongsi momen-momen percutian di laman Instagram masing-masing.

Perkongsian Akhyar Rashid di laman Instagram menunjukkan bahawa dia sedang bercuti di luar negara. . Instagram @akhyarrashid

Ini kerana tindakan itu sangat berbeza dengan pemain-pemain import Liga Malaysia seperti Jordi Ahmad dan Saddil Ramdani yang tidak ragu-ragu untuk menyarung jersi skuad Garuda, sekali gus membuatkan nilai patriotisme mereka dipersoalkan.

Namun, suasana berbeza menyelubungi kem Selangor FC apabila rata-rata penyokong Gergasi Merah mahu fokus pada peluang terhidang buat lapan pemain mereka untuk membuktikan diri.

Lapan pemain tersebut adalah Brendan Gan, Norhakim Hassan, Fazly Mazlan, Sharul Nazeem, Quentin Cheng, Aliff Haiqal, Mukhairi Ajmal dan Izwan Yuslan.

Lebih membanggakan kem skuad Merah Kuning adalah panggilan itu bermaksud Izwan daripada skuad Kebangsaan B-23 turut dinaikkan pangkat ke pasukan senior.

Penyokong Selangor, Syhmisyukri memuji pemain-pemain Gergasi Merah yang tidak kenal erti lelah demi lencana di dada.

"Selangor adalah kilang segala mesin," katanya beserta tanda pagar #selangortiangserinegara.

"HM hilang 14 pemain cuti sakan sana-sini? No problem... 8 bintang Selangor FC kan ada," tegas Darahku Merah Kuning.

Sementara itu, Faqrurrazi_04 menganggap kejayaan Selangor FC di Piala Malaysia lalu telah berjaya menawan hati ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk diberi kepercayaan menyahut misi negara kali ini.

"Perghh!! Lapan pemain kebangsaan. Boleh tambah pengalaman,meningkatkan intensiti permainan, nama menjadi sejarah baik untuk pemain dan kelab," katanya.

Buat Harris Zafri pula, peluang terhidang ini merupakan platform buat pemain Selangor membuktikan bahawa mereka mampu beraksi di peringkat antarabangsa.

"Kita buktikan Negeri Selangor powerkan negara Malaysia," ujarnya.

Malaysia akan terlibat dengan perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jumaat dan berdepan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada 14 Disember sebelum memulakan cabaran pada saingan Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari tahun depan.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram