'Luka lama ke JDT masih berparut', fans tolak idea Nafuzi Zain bawa Gary Steven Robbat ke bumi Kedah


  • Podium
  • Khamis, 08 Dis 2022

Selain Kedah, Sabah FC turut menawarkan kontrak lanjutan kepada Gary musim depan. — Facebook/ Sabah FC

IDENTITI ketua jurulatih sesuatu pasukan sering kali menjadi faktor penarik bagi pemain-pemain berpengalaman untuk menabur bakti bersama sesebuah kelab tersebut.

Ini kerana, reputasi terdahulu seseorang ketua jurulatih itu membuatkan pemain selesa untuk mempertaruhkan masa depan karier mereka di bawah kendalian jurulatih berkenaan.

Situasi sama berlaku pada ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain yang baru sahaja mengesahkan secara rasmi bahawa dia bakal bertanggungjawab untuk mengemudi Sang Kenari pada musim depan.

Berita gembira sekembalinya bekas pemain zaman Double Treble Kedah ke bumi Jelapang Padi itu disusuli dengan pengakuan arkitek tengah Sabah FC, Gary Steven Robbat berkenaan pertimbangannya untuk turut serta bersama pasukan kendalian Nafuzi.

Menurut anak jati Kulim Kedah itu, dia menerima pelawaan Nafuzi Zain untuk menyertainya bersama pasukan dalam saingan liga musim depan.

Pada masa yang sama, Sabah FC turut menawarkan kontrak lanjutan kepada Gary namun dia masih belum membuat sebarang keputusan untuk menerima atau menolak tawaran tersebut.

Demi cita-cita, Gary tolak untuk kembali berkhidmat di Kedah pada 2015. —Facebook/ JDT

Namun, tinjauan Majoriti di ruang media sosial mendapati ramai penyokong Kedah FC tidak mahu menerima pemain berusia 30 tahun itu diserap dalam skuad Sang Kenari musim depan.

Penolakan itu didorong oleh rasa marah penyokong setia skuad Hijau Kuning yang masih tidak boleh lupa tindakan Gary meninggalkan Kedah demi menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT) pada 2015.

Penyokong Sang Kenari, Mat Ary menganggap tindakan Gary yang membelakangkan pasukan negeri demi cita-cita peribadi meninggalkan parut dalam kalangan penyokong Kedah.

"Mamat Gary ni tak payah kot. Dulu dia lah terhegeh-hegeh nak pergi main dengan JDT sedangkan syarat sepatutnya, dia perlu kembali ke pasukan asal.

"Tambahan pula, dia ni berat. Main pun tak handal mana dah," tegasnya.

Amirul Erfan menyambung: " Kalau dia minta maaf kes lama dulu. Mungkin kita boleh pertimbangkan kepulangan dia ke Kedah. Tapi rasanya, tak perlu kot."

"Tak payah ambil. Belagak dan jual mahal dulu ni. Kalau kita nak bola sepak negeri Kedah maju, lupakan dia. Tiada jiwa Kedah langsung," tambah Imran Khan.

Sebagai rekod, Gary pernah menolak seruan pasukan Kedah yang menagih khidmatnya selepas dia tamat kontrak bersama Harimau Muda pada 2015.

Tindakan Gary bercanggah dengan peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menghendaki mana-mana pemain Harimau Muda untuk kembali ke pasukan negeri kelahiran masing-masing setelah tamat kontrak.

Gary juga dijatuhkan hukuman berdasarkan Artikel 17, Status dan Pemindahan serta merta selepas menimbulkan isu kontrak bersama dua pasukan iaitu Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan JDT pada tahun sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram