Kallamullah sah milik Kedah FC, fans dah ‘booked’ siap-siap tiket final ke Bukit Jalil


  • Podium
  • Rabu, 07 Dis 2022

Kalamullah menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Kedah. — KDA FC

TEKA-TEKI berkenaan identiti figura di sebalik video 'teaser' yang pernah dikeluarkan oleh Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada bulan lalu akhirnya terjawab apabila Sang Kenari mendedahkan individu terebut adalah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi pada Rabu.

Kelebihan pemain berketinggian 180 cm sebagai pemain berpengalaman di peringkat domestik dan antarabangsa dijangka mampu mengukuhkan lagi benteng pertahanan terakhir Kedah musim depan.

Penjaga gol berusia 27 tahun yang kini berada di waktu prestasi kemuncak itu menandatangani kontrak selama 2 tahun bersama KDA FC sekali gus menjadikannya sebahagian daripada projek 'New Blood' Sang Kenari.

Masakan tidak, jika dinilai berdasarkan pengalamannya musim ini di Petaling Jaya FC (PJ City FC), ketua jurulatih, P Maniam memberikan kepercayaan penuh buat pemain dari Kelantan FC itu apabila dia diturunkan sebanyak 21 kali daripada 22 perlawanan.

'Teaser' yang pernah membuatkan penyokong Sang Kenari tak senang duduk. — KDA FC

Kalamullah merekodkan sembilan 'clean sheets' dan catatan itu membolehkannya dipanggil ke dalam skuad kebangsaan ketika aksi Piala Raja Thailand September lalu.

Justeru, kehadiran Kalamullah di posisi benteng terakhir beserta dengan kemasukan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih baharu bagi saingan 2023 melonjakkan lagi semangat penyokong Sang Kenari terhadap situasi skuad tersebut musim depan.

Penyokong Kedah, Mohd Azim berpuas hati dengan keputusan pengurusan Kedah setakat ini yang disifatnya sebagai serius dalam mengotakan janji-janji mereka.

"Sempoi! Lepas ni nak booking hotel area Bukit Jalil, Kuala Lumpur siap-siap, mana tahu ada rezeki, kita masuk final tahun depan," katanya.

Kenyataan itu disahut Azani Sulaiman: "2024 Asia pula. Kita bermula tahun depan, jenuh lah kita atur perjalanan bas untuk pergi ke final nanti."

"Semuanya sempurna, dari ketinggian, usia dan pengalaman. Bagus pengurusan buat kerja," sambung Amin Kulai.

Terdahulu, KDA FC secara rasmi mengumumkan Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan tersebut bagi musim 2023.

Bekas pengendali Terengganu FC itu mendedahkan bahawa dia memilih skuad Sang Kenari kerana mahu menimba seberapa banyak pengalaman sebagai jurulatih dengan kelab tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram