Bukan Farizal Marlias, 3 calon bakal berebut gelaran Penjaga Gol Terbaik ABK22


  • Podium
  • Rabu, 07 Dis 2022

Farizal mengungguli kategori Penjaga Gol Terbaik ABK sejak empat musim lalu, namun tidak tersenarai kali ini.

KETIADAAN penjaga gol Johor Darul Takzim, Farizal Marlias yang mengungguli kategori Penjaga Gol Terbaik sejak empat musim lalu menyaksikan gelaran itu bakal menjadi pemilik pemenang baharu di Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22), pada 15 Disember depan.

Peluang sama rata bagi ketiga-tiga calon yang disenarai pendek iaitu membabitkan Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC), Kalamullah Al-Hafiz (PJ City FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) untuk muncul pemenang bagi musim 2022.

Bagi Kalamullah, beliau sedikit terkejut apabila namanya sekali lagi tersenarai buat musim ketiga berturut-turut sebagai calon kategori penjaga gol terbaik.

Ini berikutan saingan yang agak sengit dari penjaga gol pasukan-pasukan lain selain mengakui kurang berpuas hati dengan prestasinya musim ini.

“Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk menang kerana berasakan prestasi sepanjang musim ini tidak begitu memuaskan.

“Tercalon dalam tiga terbaik sudah buat saya gembira dan semuanya bergantung kepada rezeki untuk menang memandangkan saingan yang agak hebat dari dua calon lain.

“Rahadiazli seorang penjaga gol muda yang begitu berbakat manakala Syihan persembahannya begitu cemerlang dengan Negeri Sembilan selain mula mendapat tempat di skuad kebangsaan.

“Namun, saya mahu dedikasikan pencalonan ini kepada bekas pasukan, PJ City yang telah memberi ruang kepada saya untuk beraksi selama empat musim.

“Tanpa sokongan pengurusan PJ City, siapalah saya dan mungkin saya tidak berada seperti hari ini,” katanya dalam kenyataan MFL.

Seorang lagi calon, Rahadiazli, gembira apabila tersenarai dalam kalangan tiga terbaik dan menganggap itu sebagai satu simbol kepada usaha kerasnya yang bangkit daripada kecederaan Anterior Cruaciate Ligament (ACL).

“Berada dalam kalangan tiga terbaik buat pertama kali sudah sangat memggembirakan dan ini sudah dianggap satu anugerah untuk diri ini selepas berehat panjang musim lalu.

“Alhamdulilah, saya kembali diberi ruang untuk bermain dan saya mahu ucapkan terima kasih kepada penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Bagaimanapun, saya sedikit terkilan bagi musim ini kerana tidak dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi pulang ke bumi Terengganu dan harap saya terus belajar untuk jadi yang terbaik,” katanya.

ABK22 akan berlangsung secara virtual pada Khamis, 15 Disember 2022, pukul 9 malam yang mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram