Sabah gagal sekat misi quadruple JDT, nama 2 benteng terakhir jadi sebutan


  • Podium
  • Ahad, 20 Nov 2022

JDT berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir Piala Malaysia dengan agregat 4-1 menewaskan Sabah FC. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) mudah menepati ramalan apabila mara ke final Piala Malaysia selepas menewaskan Sabah FC dengan agregat 4-1.

Dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Ahad malam, skuad kendalian Hector Bidoglio menang selesa 3-1 hasil jaringan Bergson da Silva pada minit ke-31; Fernando Foresteri (41) dan Syafiq Ahmad pada masa kecederaan babak kedua manakala gol saguhati pelawat dicetak oleh Taiki Kagayama pada minit ke-47.

JDT sebelum ini membawa bekalan selesa apabila menang 1-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.

Namun, apa yang menarik perhatian dalam pertembungan itu adalah apabila dua nama pemain mula meniti bibir penyokong kedua-dua pasukan selepas mengalami nasib berbeza.

Penjaga gol Sabah FC, Damien Lim jelas memberi kesukaran buat jentera serangan Harimau Selatan selepas beraksi cemerlang dengan menepis percubaan demi percubaan pihak lawan.

Antara aksi yang menarik perhatian ramai adalah ketika penjaga gol kelahiran Selangor itu menghalang percubaan Bergson ketika situasi satu lawan satu.

Tetapi, ia kelihatan tidak cukup selepas benteng pertahanannya kerap berada dalam keadaan leka sehingga berjaya dimanfaatkan peluang oleh jentera serangan lawan.

Bagi JDT pula, prestasi tidak meyakinkan kapten pasukan, Farizal Marlias jelas mengundang kritikan selepas dia gagal mengawal percubaan deras Taiki Kagayama.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu sebelum ini sering dikritik peminat selepas kerap melakukan kesilapan sehingga mampu diambil peluang oleh pihak lawan.

Jaringan duo import Harimau Selatan, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri pada babak kedua perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor meletakkan juara Liga Super itu selesa terlebih dahulu.

Memasuki separuh masa kedua, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mula mengasak benteng JDT yang akhirnya membuahkan hasil apabila Kagayama merapatkan kedudukan menjadi 2-1.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan melengkapkan kemenangan penuh bergaya selepas penyerang gantian, Syafiq Ahmad berjaya menjaringkan gol ketiga buat JDT.

JDT bakal berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Selangor FC dan Terengganu FC yang akan melengkapkan baki 90 minit tak termasuk masa tambahan pada Isnin. Selangor FC ketika ini selesa mendahului menerusi agregat 3-1.

Jika berjaya mendakap trofi Piala Malaysia, JDT bakal melakar sejarah trofi quadruple selepas mendakap trofi Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA musim ini.

Venue final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara pada 26 November. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram