TONGGAK pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar mengakui berasa gugup untuk beraksi kali pertama di pentas Piala Malaysia apatah lagi berdepan lawan seperti Johor Darul Takzim (JDT).
Sebagai pemain pertahanan, Sharul Nazeem yang juga dikenali sebagai Afro sedar dengan kualiti tiga pemain berbisa JDT seperti Bergson da Silva, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Mohd Hanapi yang sentiasa menjadi duri dalam daging pasukan.
“Ini adalah piala terbesar jadi bagi saya yang kali pertama merasa perlawanan final, sudah semestinya saya gugup dan kami semua perlu cepat sesuaikan diri dalam apa jua situasi.
“Kita perlu fokus dalam setiap gerakan dari JDT sebab kita tahu mereka kebanyakannya semua bagus dan ada yang merupakan pemain kebangsaan juga.
“Saya sebagai pertahanan memang harap rakan-rakan fokus setiap gerak geri daripada JDT dan kami harap malam esok (Sabtu) mampu memberikan yang terbaik”, katanya dalam kenyataan MFL pada Jumaat.
Sementara itu, JDT waspada ancaman Selangor FC terutama di bahagian sayap yang semakin ampuh dalam misi untuk merebut trofi Piala Malaysia.
Penjaga gol Harimau Selatan, Farizal Marlias mengakui kualiti yang ada pada Selangor sejak dibimbing oleh pengendali Tan Cheng Hoe yang berjaya membawa pasukan itu ke pentas final kali ini.
Justeru, amat penting untuk JDT memastikan setiap pemain lebih berhati-hati di setiap bahagian bagi mengelakkan serangan balas Selangor yang sukar dijangka kali ini.
Bagi Farizal, JDT kini di landasan yang cukup baik dengan persediaan semua pemain yang tidak berdepan sebarang kecederaan dan penggantungan untuk memastikan mereka mampu meraih ‘Treble’ musim ini.
“Apabila Cheng Hoe ambil alih Selangor, kita nampak sedikit perbezaan dari sebelumnya di mana mereka lebih tersusun dan teratur terutamanya dari segi pertahanan dan menyerang.
“Mereka juga mempunyai pemain-pemain yang begitu pantas di bahagian sayap dan kita memang kena berhati-hati daripada segi serangan balas dan sebagainya.
“Alhamdulillah motivasi pemain semua sangat baik dan apa yang menggembirakan saya adalah kami semua tiada kecederaan dan tiada penggantingan, jadi memang semua bersedia”, jelasnya.
Aksi final TM Piala Malaysia antara JDT dan Selangor akan berlangsung pada Sabtu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kali terakhir JDT merangkul trofi Piala Malaysia adalah pada musim 2019 manakala Selangor menjuarai pada tahun 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram