Murah senyuman, warak antara karakter Hashim yang dirindu 2 legenda bola sepak


  • Podium
  • Rabu, 30 Nov 2022

Mohd Hashim memenangi anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994 itu. — Facebook/Kelantan

‘SAYA terkilan tak dapat lawat Allahyarham,” Demikian luahan dari bekas penyerang kebangsaan, Datuk Dollah Salleh selepas mendengar berita pemergian rakan seperjuangannya suatu ketika dahulu, Mohd Hashim Mustapha.

Kesibukan Dollah sebagai pengendali Sri Pahang musim ini membuatkan beliau tidak berkesempatan untuk melawat rakan baiknya itu.

“Kawan-kawan semua pergi lawat. Saya kira gagal sebab tak jumpa dia. Saya cuma titip mesej di Whatsapp group pasukan. ALLAH lagi sayangkan dia. Doa yang terbaik,” katanya kepada Majoriti.

Dollah pernah beraksi bersama Allahyarham bagi kejohanan Sukan SEA 1987 yang berlangsung di Jakarta dan mewakili negara pada Sukan Asia di Hiroshima (1994).

Skuad negara ketika Sukan Asia itu turut dibarisi legenda seperti Khairul Azman, Datuk Ong Kim Swee, K. Sanbagamaran, Azizol Abu Hanifah, Azman Adnan dan Shahrin Majid.

Mengimbau kembali kenangan sewaktu kejohanan Sukan Sea 1987 di Jakarta, Dollah masih tidak dapat melupakan saat Mohd Hashim menjaringkan gol dan membantu pasukan kebangsaan membawa pulang pingat perak.

“Pada 1987 di Jakarta. Dia ada jaringkan gol yang sangat cantik. Sehingga coach Abdul Rahman bagi hadiah dekat dia.

“Semasa itu Malaysia menang 2-0 dengan Thailand, hasil jaringan saya dan ALLAHyarham,” tambahnya.

hashiim dulu2

Mohd Hashim pernah menyarung jersi Kelantan, Kedah FA, Johor FA sebelum mengambil keputusan untuk bersara. — Facebook/Kelantan

Bukan itu sahaja, pengendali berusia 59 tahun itu juga cukup mengagumi keperibadian yang ada pada diri bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994 itu.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang yang rajin belajar, menjaga solat dan keperibadian yang cukup disenangi oleh rakan sepasukan lain.

“Dia pernah tanya saya, kenapa national team tak perform dan saya bagi nasihat kepadanya untuk cuba kembalikan keyakinan.

“Dia juga suka bergurau, warak dan solat memang tak tinggal. Sibuk macam mana pun latihan, dia akan solat. Kawan semua senang dengan dia,” ujarnya.

Dalam pada itu, bagi legenda bola sepak Sabah, Matlan Marjan, pemergian Mohd Hashim merupakan satu kehilangan besar buat Kelantan dan Malaysia.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 2.58.45 PM

ALLAHyarham (tengah) bersama Matlan (kiri) dan Azman Adnan. — Facebook/Matlan

Menurutnya, karakter bekas pemain Kelantan ketika beraksi dan semasa menjadi jurulatih sangat tegas namun di luar padang murah dengan senyuman.

“Bagi saya dia dalam padang ada ketegasan tapi dia tiada sikap dendam. Jika dalam perlawanan Kelantan-Sabah bergaduh, dia tidak terlibat.

“Karakternya sebagai jurulatih pun tegas dan serius. Memang satu kehilangan besar buat Kelantan dan tanah air,” kongsinya.

Pada Selasa, Mohd Hashim menghembuskan nafas terakhir pada usia 56 tahun kira-kira pukul 10.26, Selasa di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

WhatsApp Image 2022-11-30 at 2.58.48 PM

Mohd Hashim sewaktu melatih skuad Kelantan B-21 dan pasukan itu dinobatkan sebagai johan Piala Presiden 2016. — Facebook/Kelantan

Legenda bola sepak Kelantan itu pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia, selain turut mewakili negara pada era tersebut.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu, pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012, dan pernah menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam Liga M3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram