KELAB bola sepak yang beraksi di Thai League 1, Ratchaburi FC dilaporkan sudah menandatangani pemain Johor Darul Takzim (JDT), Safawi Rasid pada jendela perpindahan kedua musim 2022/23 baru-baru ini.
Bintang berusia 25 tahun itu merupakan antara tunjang utama buat pasukan Harimau Selatan dan juga skuad kebangsaan sejak beberapa musim yang lalu.
Namun begitu, anak jati kelahiran Dungun, Terengganu ini bergelut dengan kecederaan selain berdepan saingan sengit untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana yang turut berkata, Safawi akan menyertai pasukan itu selepas selesai tugas bersama pasukan kebangsaan, lapor Main Stand International.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi Ratchaburi FC, Tanawat Nitikanchana lapor Main Stand International. — Agensi
Safawi akan menjadi pemain import kuota Asean ketiga buat Ratchaburi FC selepas kelab itu turut menandatangani dua pemain Myanmar, Myo Min Latt dan Hein Phyo Win baru-baru ini.
Menerusi laman sesawang Transfermarkt, difahamkan kontrak Safawi bersama JDT tamat pada November 2022.
Penyerang Harimau Malaya ini juga pernah bertemu dengan Ratchaburi dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) bersama JDT pada tahun 2021.
Rekod Safawi bersama JDT sepanjang musim 2022 ialah empat gol dan enam assist dalam 26 penampilan di dalam semua kejohanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram