KBS diterajui wanita, Hanna Yeoh miliki kredibiliti tersendiri


  • Primer
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Hanna Yeoh dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Negara pada sidang media yang diumumkan oleh Perdana Menteri. — The Star

PENGUMUMAN Kabinet kerajaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyaksikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Pelantikan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu sekali gus menggantikan jawatan yang disandang bekas Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebelum ini.

Berpengalaman luas dalam pentadbiran, Yeoh, 43, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018 dan mencatat sejarah sebagai speaker DUN wanita pertama dan termuda dalam negara.

Ibu kepada dua cahaya mata itu mula melibatkan diri dalam dunia politik dengan menyertai DAP pada 2006, merupakan bekas peguam dan pernah menjadi Ahli DUN Subang Jaya selama dua penggal sejak 2008 sebelum beralih ke peringkat Parlimen pada 2018 apabila bertanding di kerusi Segambut.

Yeoh mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Subang Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Utama, Subang Jaya sebelum melanjutkan pelajaran dalam program Sarjana Muda Undang-Undang University of Tasmania, Australia pada 2001.

Ketika menyandang jawatan timbalan menteri, Yeoh lantang bersuara berkenaan isu perkahwinan pasangan bawah umur selain memperjuangkan penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual.

Beliau juga sering menyuarakan pandangan dan saranan berkenaan isu hak anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan selain mencadangkan penubuhan agensi atau kementerian khas untuk kanak-kanak.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Yeoh mempertahankan kerusi Segambut bagi penggal kedua berturut-turut sejak 2018 selepas menewaskan dua pencabarnya, V. Prabagaran daripada Perikatan Nasional (PN) dan Daniel Ling Sia Chin Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 59,684 undi. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram